KOTA KINABALU 9 Mei – Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bersedia bertanding solo dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang akan datang dengan memfokuskan kerjasama dengan parti-parti tempatan lain yang sehaluan.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan bahawa parti-parti tempatan perlu menjadi tunjang utama dalam pentadbiran negeri Sabah, selaras dengan realiti, budaya dan keperluan rakyat negeri ini.
“Sekiranya keputusan muktamad Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) adalah untuk bekerjasama dalam Pilihan Raya Negeri akan datang, maka GRS bersedia untuk bertanding secara solo
“Menyimpang daripada prinsip ini bermakna kita mengabaikan aspirasi sebahagian besar rakyat Sabah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pengerusi GRS itu berkata prinsip ini dipegang teguh oleh gabungan itu tanpa menafikan peranan serta kepentingan parti-parti nasional dalam kerangka kerjasama yang lebih luas.
Menurut Hajiji, perjuangan utama GRS adalah untuk menjamin kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat demi masa depan negeri Sabah.
Beliau turut menekankan bahawa kerajaan negeri hari ini wajar diperkukuh kerana ia menyumbang kepada kestabilan politik dan memperkukuh Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.
“Mengenepikan aspirasi tempatan dalam konteks politik Sabah adalah tidak selari dengan sentimen rakyat di peringkat akar umbi,” ujarnya.
Sehubungan itu, GRS akan mengadakan mesyuarat kepemimpinan dalam masa terdekat bagi menetapkan hala tuju gabungan tersebut dalam menghadapi PRN serta mengadakan perbincangan rasmi bersama parti-parti yang membentuk kerajaan negeri ketika ini untuk mendapatkan pandangan serta pendirian mereka.
Baru-baru ini, dalam satu perjumpaan selama tiga jam, tujuh pemimpin parti komponen GRS telah menyatakan komitmen untuk terus bersama bagi memastikan kemenangan GRS dalam PRN akan datang.
Mereka adalah Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam (Pemangku Presiden PBS), Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey Kitingan (Presiden STAR), Tan Sri Pandikar Amin (Presiden USNO), Tan Sri Anifah Aman (Presiden PCS), Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee (Presiden SAPP), Datuk Chin Su Phin (Presiden LDP), Tan Sri Liew Yun Fah (Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah) dan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun.
Nnnn