Nurul Izzah ketepi label parti anak beranak

SEPANG 9 Mei – Nurul Izzah Anwar hari ini secara rasmi menawarkan diri untuk jawatan Timbalan Presiden PKR pada pemilihan 23 Mei ini walaupun memahami ia mengundang persepsi pelbagai pihak mengenai “Parti Anak Beranak”.

Dalam kenyataannya hari ini, Nurul Izzah yang akan mencabar penyandang jawatan Rafizi Ramli menjelaskan, jika beliau memilih untuk kekal bertanding jawatan Naib Presiden pada  kali ini, gelaran yang sama akan tetap wujud.

“Walau apa jua gelaran dan persepsi yang dilemparkan selama puluhan tahun, saya tetap akan terus berkhidmat, kerana yakin proses bertanding secara terbuka lantas mendapat mandat daripada akar umbi bukanlah satu bentuk nepotisme.

Sebaliknya, itulah asas demokrasi yang perlu kita pertahankan dalam parti kita ini,” katanya yang mengemukakan pencalonannya hari ini.

Setakat petang ini, Rafizi telah mengesahkan pencalonan bagi mempertahankan jawatan itu manakala Perdana Menteri Anwar Ibrahim juga mengesahkan pencalonan bagi mempertahankan jawatan Presiden PKR.

Katanya, keputusan yang perlu diambil bukanlah yang paling mudah atau paling selesa, tetapi ia lahir daripada satu bentuk tanggungjawab kerana percaya, perjuangan ini bukan milik mana-mana individu.

“Ia milik kita semua yang masih setia memikul idealisme Reformasi sejak 1998,” katanya yang tahu harapan dan kegusaran berhubung pencalonannya bagi jawatan itu yang berlegar sejak beberapa hari lalu.

Beliau menjelaskan label “Parti Anak Beranak” ini bukanlah serangan baharu,malah, sejak 1998, ketika beliau bersama pengasas dan pejuang reformasi bersama-sama menubuhkan Keadilan, yang telah digunakan untuk memperlekeh perjuangan parti.

“Ketika saya menang Naib Presiden dengan undian tertinggi pada tahun 2010, 2014 dan 2018, serangan yang sama tetap dilemparkan.

Hanya pada tahun 2022 sahaja, saya tidak bertanding, sebaliknya saya fokus dan mendokong pergerakan Ayuh Malaysia, di mana saya memperkenalkan beberapa dasar untuk diperjuangkan – termasuk TVET serta perubahan iklim bagi memberi kesan yang lebih baik kepada kehidupan seharian,” katanya.

Nurul Izzah berkata, ketika PH memenangi PRU ke-14, beliau ditawarkan untuk dilantik sebagai Menteri tetapi menolak kerana, di dalam Kabinet turut dianggotai oleh Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail selaku Timbalan Perdana Menteri.

“Malahan, sekiranya saya menang jawatan Timbalan Presiden sekalipun, saya tidak berminat dengan jawatan kabinet.

Saya yakin, mereka yang membaca kenyataan ini dengan penuh rasional dapat membezakan nepotisme iaitu dilantik oleh ahli keluarga untuk sesuatu posisi berbanding pertandingan yang diundi oleh akar umbi,” katanya.

Anak sulung Presiden PKR itu turut menzahirkan penghargaan kepada anggota dan pimpinan parti yang melahirkan sokongan serta cadangan sebagai sandaran keputusan yang beliau ambil hari ini.

Beliau menegaskan menjelang PRU ke-16, parti perlu melangkah dengan strategi yang lebih tersusun, menyeluruh dan berpaksikan kekuatan bersama.

“Sekiranya saya dipilih kelak, misi utama saya adalah saling berusaha dan bekerja bersama anggota, pendukung serta sukarelawan di cabang-cabang – khususnya di 50 kerusi marginal. Kerana PRU-16 bukan boleh dimenangi menerusi usaha mana-mana individu. Kita tidak mampu bergerak berseorangan.

Kita hanya mampu menang dengan menggandingkan kekuatan cabang, jentera akar umbi, menjalar kepada rakyat serta masyarakat menerusi kempen, khidmat dan strategi penerangan efektif yang menambat hati dan keperluan semua.

Kita tidak boleh lagi bergerak secara terpisah antara pusat dan akar umbi. Kemenangan mampu dicapai dengan kehadiran yang menyantuni rakyat, dan jentera yang hidup dan berfungsi,” tegasnya.

Pada masa sama, beliau berkata, dipilih ataupun tidak, kasih dan taat setianya sentiasa bersama Keadilan agar parti dekat dan relevan dengan rakyat mendepani segala cabaran yang bakal mendatang.

Beliau juga akan terus berusaha demi merapatkan saf besar Keadilan dan membantu membantu pimpinan yang dipilih untuk merealisasi impian serta misi kita bersama.

Kepada anggota parti, menjelang pemilihan kali ini, beliau menyeru supaya tidak menyerang pimpinan dan sahabat seperjuangan yang lain dengan biadab, apatah lagi menyentuh isu peribadi mereka.

“Dalam tempoh dua hari ini, saya lihat ada beberapa penyokong Keadilan yang mengeluarkan kata nista menyerang peribadi, malahan dipanggil dengan pelbagai gelaran dan status perkahwinan saya juga dijadikan ejekan kempen.

Saya secara peribadi berasa terkilan bukan kerana tohmahan itu semata-mata, tetapi kerana ia datang dari dalam keluarga besar Keadilan sendiri.

Kita boleh bertembung idea dan berbeza pandangan sepanjang pemilihan ini, tetapi kekal lah dengan adab dan hikmah. Berhujahlah dengan fakta, bukan dengan emosi, hinaan, gelaran dan kata-kata kesat.                                                                                  Buat semua anggota Keadilan, marilah bersama membina semula kekuatan dalaman parti. Kita menjadi tali pengikat – semangat, setiakawan dan persaudaraan. Kita disegani kerana menjaga idealisme dan membina jambatan dengan parti-parti komponen agar mudah mewakili rakyat,” katanya.

Related posts

Leave a Comment