BAITULMUQADDIS – Kabinet Israel sebulat suara memutuskan untuk melancarkan “operasi secara keras” bagi memusnahkan Hamas dan menyelamatkan baki tebusan yang masih ditahan.
Keputusan itu juga menyasarkan penguasaan penuh ke atas Semenanjung Gaza sekali gus mengekalkan kehadiran tenteranya di wilayah tersebut untuk tempoh yang tidak ditentukan.
Perdana Menteri Benjamin Netanyahu menegaskan, seramai 2.1 juta penduduk Gaza akan dipindahkan sebagai langkah perlindungan, tanpa memberikan perincian lanjut.
Netanyahu bagaimanapun tidak menyatakan secara tepat jumlah wilayah yang akan ditawan oleh tentera, namun menegaskan bahawa “mereka tidak akan masuk dan keluar”, menandakan rancangan kehadiran ketenteraan jangka panjang di Gaza.
Ketua Staf Angkatan Pertahanan Israel (IDF), Leftenan Jeneral Eyal Zamir mengumumkan, operasi yang lebih intensif bermatlamat menghapuskan infrastruktur Hamas, termasuk terowong bawah tanah.
Strategi itu beralih daripada serangan sementara kepada penaklukan dan pengekalan wilayah sehingga Hamas dikalahkan atau bersetuju bagi melucutkan senjata dan berundur dari Gaza.
Langkah itu mencetuskan kebimbangan antarabangsa, dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), United Kingdom (UK), Kesatuan Eropah (EU) dan organisasi kemanusiaan mengecam tindakan pelanggaran prinsip kemanusiaan.