PAP menang besar, kekal perintah Singapura

SINGAPURA – Parti Tindakan Rakyat (PAP) kekal memerintah selepas parti pimpinan
Perdana Menteri, Lawrence Wong, sekali mendapat mandat kukuh dengan memenangi 87 daripada 97 kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum 2025.

Pasukan empat anggota yang dipimpin Wong, berjaya mempertahankan GRC Marsiling-Yew Tee, dengan meraih 80,890 undi (73.46 peratus) berbanding pencabar, Parti Demokratik Singapura (SDP) yang meraih 29,220 undi.

PAP yang menghadapi pilihan raya pertama di bawah kepemimpinan Wong sebagai Setiausaha Agung menang besar dengan menerima undi sah sebanyak 65.57 peratus kira-kira 4 mata peratusan lebih tinggi daripada 61.24 peratus pada 2020.

Pada 1991, Goh Chok Tong memenangi 61 peratus undi semasa memimpin PAP sebagai perdana menteri buat kali pertama, manakala Lee Hsien Loong memenangi 66.6 peratus pada 2006.

Parti Pekerja (WP) yang dipimpin Pritam Singh satu-satunya parti pembangkang yang berjaya memperkukuh kedudukan tetapi gagal menambah jumlah kerusi selepas kekal menang 10 kerusi daripada 26 kerusi yang ditandingi.

Parti pembangkang lain Red Dot United (RDU), Parti Kemajuan Singapura, Perikatan Rakyat bagi Pembaharuan (PAR), Parti Demokratik Singapura (SDP), Parti Kuasa Rakyat (PPP), Parti Perpaduan Nasional (NSP), Parti Bersatu Singapura, Parti Rakyat Singapura dan Perikatan Demokratik Singapura gagal memenangi sebarang kerusi.

Keputusan itu turut mengecewakan tokoh veteran pembangkang, Setiausaha Agung SDP Dr Chee Soon Juan yang merupakan sebahagian daripada landskap politik negara sejak 1992. Beliau tewas kepada calon PAP Poh Li San di SMC Sembawang West yang baru diwujudkan.

Sementara itu, dua calon bebas di SMC Radin Mas dan SMC Mountbatten berjaya menyelamatkan deposit S$13,500 masing-masing selepas memperoleh sekurang-kurangnya 12.5 peratus undi.

Berucap di Stadium Yio Chu Kang di mana penyokong PAP berhimpun, Wong berkata, pilihan raya pertama sebagai Perdana Menteri dan Setiausaha Agung PAP menghargai mandat yang diberikan kepada parti itu.

“Ini pengalaman yang cukup merendah diri, dapat bekerja bersama dengan anda semua, berinteraksi dan berhubung dengan anda semua. Kami sekali lagi bersyukur atas mandat yang kuat ini dan kami akan memikul amanah ini dengan penuh tanggungjawab.

“Terima kasih atas mandat anda yang kukuh dan kami akan menghormatinya. Kami akan menghormati kepercayaan yang diberikan kepada kami dengan bekerja lebih keras lagi untuk anda semua,” katanya.

Pritam pula ketika berucap kepada penyokongnya di Stadium Serangoon, berkata WP telah menjangkakan pilihan raya yang sengit serta menghargai sokongan amat penting dalam misi untuk mencapai sebuah Parlimen yang lebih seimbang.

Sementara itu, beberapa kawasan sengit yang menjadi tumpuan adalah Kawasan Undi Perwakilan Kumpulan (GRC) Tampines, GRC Punggol, GRC East Coast, GRC West Coast-Jurong West serta Kawasan Undi Perseorangan (SMC) Jalan Kayu.

Di GRC Tampines, pasukan Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, meraih kemenangan tipis dengan 52.02 peratus undi.

Anggota pasukan PAP GRC Tampines ialah Menteri Negara Kanan (Tenaga Manusia merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Dr Koh Poh Koon; Setiausaha Parlimen Kanan (Pengangkutan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Baey Yam Keng; dan dua muka baharu PAP, David Neo dan Dr Charlene Chen.

Pasukan itu dicabar WP yang dianggotai Faisal Manap, Jimmy Tan, Dr Ong Lue Ping, Eileen Chong dan Michael Thng serta dua lagi parti iaitu PPP dan NSP.

Faisal, sebelum ini merupakan anggota pembangkang Melayu pertama apabila beliau menang sebagai sebahagian daripada pasukan di GRC Aljunied pada 2011.

WP, yang dipimpin Pritam yang juga, setiausaha agung, kekal menguasai GRC Aljunied, GRC Sengkang dan SMC Hougang.

Parti pembangkang itu mempertahankan kedudukannya di GRC Aljunied dengan undi 59.68 peratus; di GRC Sengkang dengan undi 56.31 peratus dan SMC Hougang dengan undi 62.17 peratus.

Turut menjadi tumpuan GRC Punggol, di mana pasukan Timbalan Perdana Menteri, Gan Kim Yong, menang dengan undi 55.17 peratus.

Pasukan PAP di GRC tersebut adalah Menteri Negara Kanan (Kesihatan merangkap Penerangan dan Pembangunan Digital), Dr Janil Puthucheary; Menteri Negara (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Ehwal Dalam Negeri), Sun Xueling; dan Penolong Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Yeo Wan Ling.

Mereka menewaskan pasukan WP yang menampilkan peguam kanan, Harpreet Singh.

Sebanyak 2,429,281 orang mengundi pada pilihan raya ini, merangkumi 92.47 peratus daripada seramai 2,627,026 pengundi yang didaftar.

Berbanding 93 kerusi dipertandingkan pada 2920, pada kali ini sebanyak 97 kerusi dipertandingkan di 33 kawasan undi setelah, lima kerusi dimenangi PAP tanpa bertanding pada hari penamaan calon.

PAP menang tanpa bertanding di GRC Marine Parade-Braddell Heights, kali pertama berlaku sejak 2011.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment