Siasatan bebas, telus dan profesional

 

KUALA LUMPUR 26 April – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sentiasa mengamalkan prinsip siasatan yang bebas, telus dan profesional dalam semua operasi, kata Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki.

Beliau juga menegaskan siasatan yang dijalankan badan pencegahan rasuah itu sentiasa bebas tanpa sebarang campur tangan politik.

Azam menarik perhatian mengenai siasatan kes-kes berprofil tinggi di mana SPRM bertindak tanpa takut atau pilih kasih, tidak kira individu yang terlibat sama ada bekas pemimpin tertinggi negara, wakil rakyat negeri atau pengarah syarikat besar.

“SPRM akan terus memberi tumpuan kepada kes-kes grand corruption dan
berkepentingan awam.

“Kita mahu memastikan bahawa setiap sen hasil daripada amalan rasuah dan penyelewengan dapat dikembalikan semula kepada rakyat, “ katanya ketika berucap pada Majlis Malam Anugerah Media SPRM Kali Ke-5 Tahun 2024 di sini malam tadi.

Menurut Azam, SPRM pada tahun lalu berjaya membeku dan merampas hak serta kompaun bernilai lebih RM285 juta.

Pada suku tahun pertama tahun ini pula, SPRM mencatatkan sitaan aset terbesar setakat ini iaitu RM177 juta, melibatkan wang tunai dan jongkong emas yang terkait dengan siasatan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Katanya , pada tahun ini, SPRM memperkukuh tumpuan terhadap kes-kes rasuah
berskala besar, berprofil tinggi dan berkepentingan awam.

Menurut Azam, kes berkepentingan awam termasuk Op Sky, iaitu operasi SPRM bersama Bank Negara Malaysia dan institusi-institusi kewangan berjaya melumpuhkan sindiket pinjaman bank didalangi syarikat perunding kewangan dengan nilai pinjaman mencecah RM700 juta.

Manakala, Op X pula membongkar kilang memproses bahan elektronik haram atau e-waste dengan kerjasama PDRM, Jabatan Imigresen dan Jabatan Alam Sekitar.

“Dalam Op Outlander dan Op Birth, SPRM melumpuhkan sindiket yang menguruskan proses pembelian bayi dan penyediaan sijil kelahiran secara haram. Kegiatan-kegiatan rasuah dan salah gunakuasa ini menggugat keselamatan negara dan kelesterian alam sekitar, oleh itu, ia harus dilawan sehabis-habisnya,” katanya.

Sementara itu, beliau juga menggesa pengamal media mengekalkan prinsip kewartawanan beretika, mengutamakan fakta, menolak spekulasi dan meneliti sumber sebelum menerbitkan laporan.

Azam berkata, ini kerana berita palsu boleh mencemarkan imej institusi dan melemahkan keyakinan rakyat malahan berisiko menggagalkan apa juga usaha pembaharuan.

“Oleh itu, media arus perdana bersama dengan portal berita yang kredibel harus menjadi tonggak utama dalam memastikan ketepatan maklumat sampai kepada masyarakat,” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment