SEPANG 23 April – Kongres Nasional PKR 2025 yang akan berlangsung di Johor Bharu Mei depan dijangka dihadiri kira-kira 10,000 perwakilan dan mengundi secara fizikal, manakala lebih 20,000 perwakilan diunjurkan akan mengundi di atas talian.
Setiausaha Agung PKR, Dr Fuziah Salleh, berkata Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) mengesahkan berkaitan Kongres yang akan berlangsung pada 23, 24 dan 25 Mei dengan 23 Mei Kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita Nasional.
“Buat pertama kalinya, Kongres Nasional 2025 akan menggunapakai konsep ‘proportionate representation’ untuk perwakilan seperti sudah diluluskan dalam Kongres Khas pada 15 Disember lalu,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, mesyuarat MPP petang ini juga memutuskan sebilangan perwakilan yang wajib hadir fizikal daripada kalangan Ahli Jawatankuasa (AJK) Cabang-Cabang di Sabah dan Sarawak boleh menghadiri sebagai perwakilan serta mengundi di pusat undian satelit di Kuching, Sarawak dan Kota Kinabalu, Sabah.
“Ini adalah bagi memberi kemudahan kepada perwakilan di Sabah dan Sarawak yang perlu mengundi fizikal untuk mengundi serta mengikuti perjalanan Kongres Nasional 2025 melalui jarak jauh di Pusat Satelit.
“Senarai Perwakilan dalam kalangan AJK Cabang dari Sabah dan Sarawak yang akan mengundi secara fizikal di Kongres Nasional akan diumumkan kemudian,” katanya.
Mesyuarat MPP juga membuat keputusan dasar di mana seseorang anggota parti selepas menjadi calon Pemilihan dan kemudiannya didapati menjadi ahli mana-mana parti lain akan digugurkan keanggotaannya.
Dr Fuziah berkata ahli yang berbuat demikian akan hilang kelayakan untuk menjadi calon dan terbatal pencalonannya.
MPP juga sudah dimaklumkan berkenaan status keanggotaan calon-calon yang bertanding di dalam Pemilihan PKR 2025.
Nnnn