Meningitis berakhir 2030?

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyasarkan untuk mengakhiri wabak meningitis menjelang tahun 2030 melalui peningkatan kesedaran dan akses kepada rawatan serta diagnosis.

Rancangan di peringkat global itu dilancarkan oleh agensi PBB tersebut pada Selasa (28 Sept.) bagi memerangi penyakit radang di otak dan urat saraf tunjang.

Program yang dipimpin WHO ini juga bertujuan mengurangkan kadar kematian akibat meningitis sebanyak 70 peratus dan mengurangkan separuh kes keseluruhan.

Penyakit ini paling kerap dikesan di lebih 20 negara di Afrika.

Sekiranya tidak dirawat, bakteria meningitis boleh menyebabkan wabak merebak dengan pantas – boleh membunuh satu daripada 10 orang yang dijangkiti.

Manakala lima daripadanya dalam keadaan kronik dengan kehilangan daya pendengaran, penglihatan dan kerosakan pada otak.

Wabak ini kebiasaannya ia lebih menjangkiti bayi, kanak-kanak dan golongan muda.

Penyakit itu disebarkan menerusi titisan pernafasan atau rongga tekak daripada pesakit yang dijangkiti.

Ia boleh menjangkiti individu lain yang mempunyai kontak berterusan serta berada dalam jarak dekat dengan pesakit.

Related posts

Leave a Comment