93.4 peratus keluar mengundi awal

93.4 peratus keluar mengundi awal

TAPAH – Sebanyak 93.4 peratus daripada 500 pengundi awal melibatkan anggota polis dan pasangan menunaikan tanggungjawab bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning hari ini.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak, mengucapkan tahniah kepada pegawai pengurus pilihan raya dan pasukan kerana menjalankan tanggungjawab yang amat baik, hari ini.

“(SPR juga) menghargai kerjasama diberikan Polis Diraja Malaysia, pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Penerangan, pengamal media dan semua pihak terbabit secara langsung atau tidak,” katanya dalam kenyataan.

Proses pengundian awal bagi PRK DUN Ayer Kuning membabitkan dua pusat mengundi, masing-masing di Dewan Anggerik, Kompleks Perumahan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah dan Dewan Rekreasi Pegawai Kanan, Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA), Bidor.

Pusat mengundi di Dewan Anggerik, Kompleks Perumahan IPD Tapah beroperasi antara pukul 8 pagi hingga 12 tengah hari, manakala Dewan Rekreasi Pegawai Kanan, Batalion 3 PGA Bidor, bermula pukul 8 pagi hingga 5 petang.

PRK DUN Ayer Kuning menyaksikan saingan tiga penjuru antara Mohamad Yusri mewakili Barisan Nasional (BN), Abdul Muhaimin Malek (Perikatan Nasional) dan Bawani KS (Parti Sosialis Malaysia)

Ia diadakan susulan kematian penyandangnya, Ishsam Shahruddin akibat serangan jantung selepas menyertai perlawanan bola persahabatan di Pulau Pinang, pada 22 Februari lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan tempoh berkempen selama 14 hari sejurus proses penamaan calon pada 12 April lalu hingga pukuk 11.59 malam, Jumaat ini.

Related posts

Leave a Comment