Negeri ada hak tidak keluar lesen jual vape

KUALA LUMPUR 18 April – Kerajaan negeri mempunyai hak untuk tidak mengeluarkan lesen kepada peniaga vape atau rokok elektronik di negeri masing-masing, kata Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata, perkara itu selaras dengan peruntukan undang-undang kecil yang membolehkan kerajaan negeri menetapkan dasar penjualan peranti berkenaan di negeri masing-masing.

Katanya , beberapa egeri telah mengambil inisiatif untuk tidak memberikan lesen kepada peniaga vape.

“Ini adalah hak kerajaan negeri kerana mereka mempunyai ruang dari segi perundangan dan ketetapan dibuat berdasarkan polisi masing-masing,” katanya selepas merasmikan Majlis Prapelancaran Persidangan Penjagaan Kesihatan Antarabangsa Malaysia (MIH) Megatrends 2025, di sini .

Semalam, Timbalan Ketua Polis Negara, Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kerajaan negeri mempunyai kuasa bagi mengharamkan penjualan vape.susulan penggunaannya menjurus kepada penyalahgunaan dadah jenis sintetik.

Ayob dilaporkan berkata, wujud pelajar sekolah seawal usia 13 tahun yang dikesan menggunakan vape mengandungi bahan terlarang yang seterusnya mampu mengundang ancaman baru terhadap negara.

Mengulas lanjut, Dzulkefly berkata, ketika ini pihaknya mengambil pendekatan mengawal selia vape secara berfasa menerusi Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).

“Apa pun undang-undang, kita sedia buat pertimbangan, saya selalu tegaskan ada bukti-bukti baru kita sebagai kementerian dan kerajaan pastinya secara berterusan melihat.

“Kita bentang, kita laksanakan, lulus Akta 852 kita laksanakan kawal selia pada peringkat ini.” katanya lagi.

Sementara itu, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri sedia meneliti keperluan mengharamkan penjualan vape di negeri ini.

Bagaimanapun perkara itu perlu dibincangkan bersama Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar negeri, Jamaliah Jamaluddin dan Jabatan Kesihatan negeri sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Kalau ada keperluan kita laksanakan…saya perlu dapatkan keseluruhan fakta dan pandangan,” katanya pada Majlis Ehsan Raya Meriah Lain Macam Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) hari ini.

Nnn

Related posts

Leave a Comment