Andalusia, RHB Islamic jalin kerjasama strategik

KUALA LUMPUR 18 April – Syarikat pengendali haji dan umrah, Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd (Andalusia) memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi menjalin kerjasama strategik dengan RHB Islamic Bank Berhad (RHB Islamic).

MoU itu adalah dalam memperkenalkan penyelesaian kewangan patuh syariah yang menyokong pertumbuhan industri pelancongan Islam.

Kerjasama ini merangkumi pelbagai inisiatif utama seperti penggunaan penyelesaian kewangan yang direka khas untuk industri pelancongan iaitu RHB TravelPlus-i melalui penyediaan kemudahan terminal pembayaran kad kredit/ debit yang didatangkan dengan pelan ansuran tanpa kos,.

Di samping itu, kemudahan QR DuitNow yang didatangkan dengan kotak suara, kadar tukaran asing (Forex) yang kompetitif dan promosi bersama produk-produk Andalusia melalui saluran rasmi RHB Islamic.

Kedua-dua pihak juga akan bekerjasama dalam aktiviti promosi bersama dan penyelidikan pasaran untuk menghasilkan penyelesaian yang lebih menyeluruh untuk pelanggan masing-masing.

Pengerusi Eksekutif Andalusia, Md Daud Che Ngah berkata, ini merupakan julung kali pihaknya bekerjasama dengan institusi kewangan Islam dalam memperkenalkan pembayaran pakej umrah, haji dan pelancongan menggunakan kaedah sedemikian.

Beliau berkata, pihaknya percaya kerjasama tersebut membuka lembaran baharu dalam penyediaan kemudahan pelancongan Islam dengan nilai tambah kewangan yang memudahkan perancangan para jemaah dan pelanggan mereka.

“Ini adalah contoh bagaimana institusi kewangan dan agensi pelancongan dapat berganding bahu memperkukuh ekonomi umat,” katanya selepas memeterai MoU tersebut di reruai Andalusia sempena penganjuran MATTA Fair 2025 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini.

Turut hadir Ketua Pembangunan Perniagaan Islamik RHB Islamic, Ishak Othman dan Pengarah Pemasaran Digital Andalusia, Izzati Ibrahim.

Md Daud turut menyatakan rasa syukur dengan komitmen dalam membantu jemaah yang mempunyai kemampuan terbatas untuk menunaikan ibadah berkenaan.

Sementara itu, Pengarah Urusan, RHB Islamic Datuk Adissadikin Ali, dalam kenyataannya berkata kerjasama itu mencerminkan komitmen pihaknya dalam menyokong ekosistem pelancongan Islamik melalui penyelesaian kewangan patuh Syariah yang relevan dan menyeluruh.

“Kami berbesar hati dapat bekerjasama dengan Andalusia yang merupakan syarikat pengendali umrah dan pelancongan Muslim terkemuka di Malaysia dengan menawarkan pakej RHB TravelPlus-i yang direka khas bagi menyokong syarikat dalam industri pelancongan.

Kami juga berbangga menjadi institusi kewangan pertama menyokong Andalusia menawarkan kemudahan melanggan pakej Umrah dan Pelancongan Muslim secara bayaran ansuran tanpa kos menggunakan kad kredit yang membolehkan pelanggan membuat pembayaran secara fleksibel bersesuaian dengan kemampuan (istito’ah) masing-masing,” katanya.

Dalam pada itu Ishak berkata, menerusi kerjasama selama dua tahun dengan Andalusia, pihaknya menawarkan pelan pembayaran mudah dengan tempoh pembayaran balik kad kredit selama 18 bulan tanpa faedah.

Nnn

Related posts

Leave a Comment