PUTRAJAYA 16 April – Akhbar Kwong Wah Yit Poh pula dipanggil Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) susulan penyiaran gambar Jalur Gemilang yang tidak lengkap di akaun Facebook rasminya, hari ini.
Kenyataan MCMC malam ini memaklumkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) kerana kandungan terbabit dimuat naik secara dalam talian.
“MCMC memandang serius perkara ini dan akan bekerjasama sepenuhnya dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi siasatan lanjut, sekiranya perlu,” kata kenyataan itu.
Suruhanjaya itu turut memberi amaran tegas kepada semua pihak termasuk media dan orang awam supaya tidak memuat naik atau menyebarkan kandungan yang boleh dianggap mempersenda atau memaparkan Jalur Gemilang dalam keadaan tidak lengkap.
Menurut kenyataan itu, MCMC komited memastikan penggunaan media digital kekal tertib serta menghormati simbol-simbol kebangsaan.
Terdahulu KDN melalui kenyataan kepada media turut memaklumkan pihaknya memulakan siasatan serta-merta terhadap Sin Chew Daily berikutan penyiaran ilustrasi Jalur Gemilang yang tidak lengkap pada muka hadapan akhbar itu semalam.
Sin Chew Daily juga sudah dipanggil hari ini bagi tujuan siasatan dan Surat Tunjuk Sebab juga sudah diserahkan.
Nnn