KUALA LUMPUR 15 April – – Jenazah Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi selamat disemadikan mengikut Istiadat Pengebumian Negara di Makam Pahlawan, Masjid Negara pada pukul 2.30 petang.
Perdana Menteri kelima itu dikebumikan mengikut Istiadat Pengebumian Negara.
Terdahulu, solat jenazah, tahlil serta bacaan talkin dipimpin Imam Besar Masjid Negara Ehsan Mohd Hosni.
Selain balu Allahyarham, Tun Jeanne Abdullah, turut berada di Makam Pahlawan ialah anak Allahyarham, iaitu Tan Sri Kamaluddin serta Nori, dan suami Khairy Jamaluddin dan beberapa ahli keluarga terdekat.
Turut berada di Makam Pahlawan ialah Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, kedua-dua Timbalan Perdana Menteri, Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Fadillah Yusof serta bekas Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.
Kelihatan juga beberapa orang bekas anggota Kabinet.
Sebelum itu, di dewan solat utama, pemimpin peringkat pusat dan negeri serta orang ramai memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham Abdullah bermula pada pukul 10 pagi hingga 1 tengah hari.
Empat bekas Perdana Menteri Malaysia hadir memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham didahului Perdana Menteri keenam Najib Tun Razak yang tiba pada pukul 10.40 pagi.
Kira-kira 50 minit kemudian, Dr Mahathir Mohamad turut tiba diikuti Muhyiddin Yassin pada 12.20 tengah hari dan Ismail Sabri tiba kira-kira 12.34 tengah hari.
Turut hadir Menteri Kanan Singapura yang juga bekas Perdana Menteri Lee Hsien Loong.