PUTRAJAYA 10 April – Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini, mewartakan Perintah Larangan bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301) terhadap dua tajuk penerbitan kerana mungkin memudaratkan kepentingan awam.
Penerbitan itu adalah “The Goal of The Wise: The Gospel of The Riser of The Family of Mohammed” oleh Abdullah Hashem melalui Perintah Mesin Cetak dan Penerbitan (Kawalan Hasil Penerbitan Tidak Diingini) (No. 4) 2025 [P.U.(A) 76] kerana mungkin memudaratkan ketenteraman awam.
Begitu juga “Suka Duka Perjalanan Dhul-Qarnain/ Cyrus The Great dan Iskandar Agung” melalui Perintah Mesin Cetak dan Penerbitan (Kawalan Hasil Penerbitan Tidak Diingini) (No. 5) 2025 [P.U.(A) 77] kerana mungkin memudaratkan kepentingan awam.
Perintah larangan terhadap kedua-dua hasil penerbitan itu adalah selaras peruntukan mengikut subseksyen 7(1) Akta 301 yang menetapkan pencetakan, pengimportan, penghasilan semula, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengelilingan, pengedaran atau pemilikan hasil penerbitan itu yang mungkin memudaratkan ketenteraman awam atau kepentingan awam dilarang secara mutlak di Malaysia.
Perintah Larangan mengikut Akta 301 ini berasaskan konsep kawalan dan pencegahan sebelum suatu ancaman atau kemudaratan itu berlaku.
Dalam masa sama, masyarakat turut mendapat pendedahan dan kesedaran mengenai hasil penerbitan yang tidak diingini dan tidak sesuai untuk bacaan umum.
KDN mengingatkan, Subseksyen 8(2) Akta 301 memperuntukkan bahawa, mana-mana individu yang mencetak, mengimport, menghasilkan, menghasilkan semula, menerbit, menjual, mengeluar, mengeliling, menawarkan untuk menjual, mengedar, atau ada dalam milikannya bagi apa-apa jua maksud seperti itu apa-apa hasil penerbitan larangan melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau didenda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya.
“Kerajaan ingin menyatakan komitmen berterusan untuk melaksanakan tindakan kawal selia dan penguatkuasaan terhadap mesin cetak dan penerbitan khususnya bagi mencegah penyebaran elemen, fahaman mahupun gerakan yang boleh mengganggu gugat keselamatan dan ketenteraman awam.
“Maklumat lanjut berkaitan dengan hasil penerbitan yang telah dikenakan tindakan Perintah Larangan bawah Akta 301 juga boleh diakses menerusi laman sesawang rasmi Kementerian Dalam Negeri atau portal Perundangan Persekutuan Malaysia,” kata kenyataan itu.
Untuk rekod pada tahun 2023, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) mengarahkan mana-mana pihak yang menjumpai dua buah buku berjudul Suhuf Abraham dan Suka Duka Perjalanan Dhul-Qarnain agar segera menyerahkannya kepada jabatan tersebut.
Menurut Pengarah JHEAINS, Datuk Mohd Zaidi Ramli, buku berkenaan dipercayai mengandungi fahaman yang meragukan umat Islam dan boleh mendatangkan kesan negatif terhadap akidah umat Islam di negeri itu.
Nn