BANGKOK – Palang Merah di Myanmar melaporkan kerosakan teruk susulan gempa bumi kuat yang melanda negara itu pada Jumaat, yang mencetuskan kebimbangan empangan di Sungai Irrawaddy berisiko pecah.
Menurut laporan media, Persekutuan Antarabangsa Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah (IFRC) telah berhubung dengan kakitangan di wilayah terjejas, kata pengurus program IFRC di lokasi, Marie Manrique.
Menurut Manrique, seramai 18.5 juta orang tinggal di kawasan terjejas berhampiran bandar Sagaing, di mana dua gempa bumi – masing-masing dianggarkan dengan magnitud 7.7 dan 6.4 – direkodkan pada Jumaat.
“Kami sangat bimbang mengenai kemungkinan kemalangan jiwa dan menjangkakan ramai yang cedera,” kata Manrique.
Dalam pada itu, Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), berkata, kira-kira 1.6 juta daripada 3.5 juta penduduk yang kehilangan tempat tinggal di Myanmar tinggal di wilayah terjejas gempa.
Ramai daripada mereka kehilangan tempat tinggal akibat konflik berterusan sejak rampasan kuasa tentera pada 2021.