Februari catat 34,889 pemilih baharu

PUTRAJAYA 24 Mac – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) merekodkan 34,889 pemilih baharu dalam tempoh 1 hingga 28 Februari 2025, iaitu warganegara berumur 18 tahun dan ke atas yang didaftarkan secara automatik.

Setiausaha SPR, Ikmalrudin Ishak berkata, dalam tempoh yang sama sebanyak 12,938 pemilih berdaftar bertukar bahagian pilihan raya, serta 1,332 pemilih bertukar status atau kategori pengundi.

Dalam satu kenyataan baru-baru ini, beliau berkata, semakan Daftar Pemilih Tambahan Februari 2025 (DPT BLN2/2025) yang telah diwartakan itu boleh dibuat dalam tempoh 30 hari bermula 21 Mac hingga 19 April depan.

Untuk rekod, sebanyak 37,683 nama warganegara berumur 18 tahun dan ke atas didaftarkan secara automatik sebagai pemilih baharu dalam tempoh 1 hingga 31 Januari 2025.

Ikmalrudin berkata, SPR menyediakan lima kaedah semakan, iaitu melalui portal SPR di pautan https://www.spr.gov.my atau https://mysprsemak.spr.gov.my, portal rasmi Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my, dan aplikasi dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my.

Kaedah lain termasuk aplikasi mudah alih MySPR Semak dan talian Semakan Pendaftaran Pemilih (03-8892 7218).

Beliau berkata, SPR menyeru warganegara berumur 18 tahun dan ke atas dalam tempoh 1 hingga 28 Februari 2025 serta mana-mana pemilih berdaftar yang telah memohon pertukaran bahagian pilihan raya atau pertukaran kategori pengundi atau status, supaya menyemak nama mereka dalam DPT BLN2/2025.

“Sekiranya mereka mendapati nama mereka tidak disenaraikan dalam DPT BLN2/2025, mereka boleh membuat tuntutan dengan mengisi Borang C melalui aplikasi dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan,” katanya.

Pemilih berdaftar di sesuatu bahagian pilihan raya yang berhasrat membuat bantahan ke atas kemasukan nama pemilih yang membuat pertukaran ke bahagian pilihan rayanya pula, perlu mengisi Borang D melalui aplikasi dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan.

Borang C dan Borang D juga boleh dimuat turun daripada portal Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my.

Borang berkenaan perlu dikemukakan kepada Pengarah Pilihan Raya Negeri berkenaan untuk membuat serahan dan membayar fi bantahan pada waktu pejabat hari bekerja sepanjang tempoh semakan DPT BLN2/2025.

Related posts

Leave a Comment