Hassan kecewa, umum tidak bertanding PRU16

PASIR GUDANG 9 Mac –  Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, mengumumkan bahawa beliau tidak akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) bagi  memberi laluan kepada pemimpin muda untuk meneruskan perjuangan parti.

Hassan yang memenangi kerusi itu pada PRU 2018 dan 2022 sebelum ini mengumumkan keputusannya untuk tidak bertanding dalam pemilihan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) pada pemilihan PKR, Mei ini.

“Saya telah membuat pengumuman secara terbuka bahawa tidak bertanding dalam pemilihan PKR kali ini. Hari ini, saya mengulangi pengumuman bahawa saya juga tidak akan bertanding dalam PRU16 akan datang.

“Saya mengambil keputusan ini kerana faktor usia dan ingin membuka ruang kepada kepimpinan baharu yang lebih segar dan bertenaga,” katanya dalam ucapan perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Cabang PKR Pasir Gudang, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, bekas Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Johor itu meluahkan kekecewaan dan dukacitanya terhadap perubahan sistem pemilihan kepemimpinan pusat PKR yang kini menggunakan sistem undi perwakilan berbanding kaedah satu anggota satu undi sebelum ini.

Hassan berkata, perubahan berkenaan menjejaskan prinsip demokrasi dalam PKR berikutan keputusan pemilihan kini hanya ditentukan perwakilan terpilih, bukan keseluruhan anggota di akar umbi.

“Tetapi apa yang boleh dibuat kerana Kongres Khas telah membuat keputusannya. Sebagai anggota parti saya akur dan tidak mahu melanjutkannya lagi sehingga disebut pula : “Rumah Siap Pahat Berbunyi.

Namun, sebagai rekod, saya perlu menyatakan pendirian saya bahawa perubahan ini bukan sesuatu yang saya sokong,” katanya.

Hassan turut menyentuh kedudukan PKR sebagai tunjang Kerajaan Madani di peringkat Persekutuan serta cabaran yang dihadapi dalam mengekalkan imej parti sebagai pejuang reformasi.

Katanya , imej PKR sebagai parti yang memperjuangkan reformasi sedikit terjejas kerana perlu bersekutu dengan parti yang mempunyai rekod rasuah dan salah guna kuasa.

“Jadi adalah satu cabaran kepada pemimpin parti dan seluruh anggota Parti Keadilan Rakyat di seluruh negara untuk menentukan arah perjuangannya dalam menghadapi pilihan raya umum yang akan datang,” katanya.

Menurut Hassan, gerakan reformasi dalam kalangan aktivis di Pasir Gudang bermula sejak 1998 dan pada PRU 1999 dan perjuangan untuk menjadi kuat seperti sekarang bukanlah mudah.

Parlimen P.159 Pasir Gudang wujud pada PRU 2004 dan PKR bertanding pada PRU itu diikuti 2008 dan 2013, yang kesemuanya berakhir dengan kekalahan kepada calon Barisan Nasional (BN).

Bagaimanapun PKR Pasir Gudang bangkit pada PRU 2018 dan memenangi kerusi itu apabila Hassan mengalahkan calon BN, Mohamed Khaled Nordin dengan majoriti 24,726 undi dan pada PRU berikutnya, bekas pemimpin PRM itu mempertahankan kerusi itu dengan 31,558 undi.

Nnn

Related posts

Leave a Comment