WASHINGTON – Perkongsian video ciptaan kecerdasan buatan (AI) mengenai pelan pembangunan Donald Trump untuk Gaza menerima kecaman di platform Truth Social milik Presiden Amerika Syarikat (AS) itu.
Antara lain klip video itu memaparkan Trump menikmati minuman bersama Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, dengan hanya berseluar mandi di Gaza, dalam gambaran masa depan wilayah Palestin yang musnah akibat perang Israel-Hamas.
Video itu menunjukkan visi komputer mengenai rancangan pembangunan hartanah Trump untuk Gaza, di mana beliau menyatakan hasrat untuk ‘membersihkan’ kira-kira dua juta penduduknya.
Trump menamakan sebagai pelan itu sebagai ‘Riviera Asia Barat’, namun cadangan itu dikritik pelbagai pihak di serata dunia sebagai pelan pembersihan etnik.
Rakaman berkenaan menunjukkan Gaza berubah menjadi pusat peranginan ala Dubai, dengan pencakar langit dan kapal layar mewah sementara kanak-kanak bermain di pantai manakala wang kertas berterbangan dan penari gelek ‘berjambang’ menari di atas pasir.
Trump, yang sebelum ini menyatakan hasrat untuk AS ‘menguasai’ Gaza, digambarkan sebagai ikon yang dihormati dalam video berkenaan.
Seorang kanak-kanak dilihat berjalan sambil memegang belon emas berbentuk kepala Trump, manakala patung besar presiden AS itu terpampang di jalan raya seperti simbol seorang diktator.
Elon Musk, penyokong tegar Trump, turut muncul beberapa kali dalam video itu, termasuk ketika sedang makan roti dan menari sambil wang dolar AS jatuh dari langit.
Kereta elektrik Tesla buatan Musk juga kelihatan meluncur di jalan-jalan moden yang digambarkan dalam video tersebut.
Tidak jelas siapa yang menghasilkan video berkenaan, walaupun ia sebelum ini telah dikongsi oleh akaun lain yang tiada kaitan dengan Rumah Putih. Trump sendiri berkongsi video itu di platform Truth Social miliknya tanpa sebarang komen.
Video itu turut disertakan dengan lirik yang dipercayai dihasilkan oleh AI:
“Donald datang membebaskanmu,
Membawa cahaya buat semua,
Tiada lagi terowong, tiada lagi ketakutan:
Trump Gaza akhirnya tiba.
Trump Gaza bersinar terang,
Masa depan emas, hidup baharu,
Pesta dan tarian, perjanjian termeterai,
Trump Gaza nombor satu.”
Nnn