SEOUL – Mulai bulan depan, penumpang yang menaiki pesawat syarikat penerbangan Korea Selatan dilarang menyimpan ‘powerbank’ dan rokok elektronik di dalam ruang penyimpanan atas tempat duduk.
Menurut laporan media, Kementerian Tanah, Infrastruktur dan Pengangkutan mengumumkan piawaian keselamatan baharu bagi penggunaan bateri litium-ion dan rokok elektronik untuk syarikat penerbangan domestik, berkuat kuasa 1 Mac.
Kesemua langkah itu diperkenalkan sebagai tindak balas kepada kes kebakaran besar di atas pesawat Air Busan sebelum berlepas di Lapangan Terbang Antarabangsa Gimhae di Busan bulan lepas.
Semasa penerbangan, powerbank dan rokok elektronik mesti diletakkan di dalam beg plastik lutsinar atau kantung pelindung dan harus disimpan di dalam poket tempat duduk atau poket kot.
Perubahan itu adalah langkah berjaga-jaga untuk menangani kebimbangan keselamatan awam mengenai risiko kebakaran berkaitan bateri di dalam pesawat.
Sekali pun punca kebakaran belum ditentukan, tetapi beberapa penumpang dan anak kapal membuat andaian kemungkinan kebakaran itu bermula daripada bateri mudah alih atau barang lain yang berada di dalam ruang atas penyimpanan.
Selain itu, penumpang akan dilarang mengecas powerbank (bank kuasa) atau rokok elektronik menggunakan port ‘USB’ yang dipasang pada tempat duduk pesawat.
Peranti elektronik dengan bateri terbina dalam, seperti telefon mudah alih dan komputer riba tidak akan tertakluk kepada peraturan baharu, kerana ia mempunyai mekanisme pencegahan litar pintas.
Kementerian itu merancang untuk mengesyorkan agar peraturan yang dipertingkatkan itu turut digunakan untuk syarikat penerbangan asing pada masa hadapan.
Nnn