Tiada hak kembali ke Gaza

WASHINGTON – Rakyat Palestin tidak ada hak untuk kembali ke Gaza di bawah rancangan pengambilalihan Amerika Syarikat (AS) yang digambarkan oleh Donald Trump sebagai “pembangunan hartanah untuk masa depan.”

Presiden Amerika Syarikat (AS), itu dilaporkan memberitahu Bret Baier dari Fox News bahawa “saya akan memilikinya” yang merujuk kepada Gaza.

Trump turut mencadangkan akan ada sehingga enam kawasan penempatan baharu untuk rakyat Palestin di luar Gaza di bawah pelan tersebut, yang ditolak mentah-mentah oleh dunia Arab dan masyarakat antarabangsa.

“Saya bercakap tentang membina tempat tinggal kekal untuk mereka, kerana jika mereka perlu kembali sekarang, ia akan mengambil masa bertahun-tahun untuk menjadikan Gaza boleh didiami semula.”, katanya.

Trump pertama kali mendedahkan rancangan kontroversi ini semasa sidang media bersama Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu pada Selasa lalu, yang mencetuskan kemarahan rakyat Palestin.

Presiden AS itu turut menggesa agar rakyat Palestin dipindahkan keluar dari Gaza yang musnah akibat peperangan Israel-Hamas dengan mencadangkan supaya Mesir dan Jordan menerima mereka.

Dalam temu bual bersama Fox, Trump menyatakan hasratnya untuk membina “komuniti indah” bagi lebih dua juta rakyat Palestin yang kini tinggal di Gaza.

“Mungkin lima, enam atau dua kawasan. Tetapi kami akan membina komuniti yang selamat, sedikit jauh dari kawasan berbahaya di mana mereka tinggal sekarang,” katanya.

Walaupun pada awalnya Trump menyatakan bahawa rakyat Palestin boleh menjadi sebahagian daripada “penduduk dunia” yang dibenarkan tinggal di sana, kenyataan terbaharunya menunjukkan pendiriannya semakin tegas untuk tidak membenarkan rakyat Palestin kembali.

Sementara, sekutunya, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu pada Ahad memuji rancangan Trump dengan menyifatkan ia sebagai visi baharu yang lebih baik untuk Israel.

Bagaimanapun , reaksi global terhadap pelan ini penuh dengan kemarahan.

Mesir, Jordan, negara-negara Arab lain serta rakyat Palestin menolaknya secara total.

Kritikan juga datang dari pemimpin Barat di mana Canselor Jerman, Olaf Scholz menyifatkan pelan itu sebagai “skandal” dan menegaskan, pemindahan paksa rakyat Palestin adalah “tidak boleh diterima dan bertentangan dengan undang-undang antarabangsa.”

Rancangan Trump turut mengancam kestabilan gencatan senjata selama enam minggu antara Israel dan Hamas di Gaza, sekali gus memburukkan lagi prospek untuk mencapai fasa damai yang lebih kekal.

Walau bagaimanapun, Trump tetap yakin bahawa beliau boleh memujuk Mesir dan Jordan untuk menyokong rancangannya.

Nnn

Related posts

Leave a Comment