PM baru tersedar pentingnya tebatan banjir

SEPANG – Bekas Menteri Alam Sekitar dan Air, Tuan Ibrahim Tuan Man menyifatkan sebagai pelik cara berfikir Anwar Ibrahim setelah baru menyedari betapa pentingnya projek tebatan banjir yang dibatalkan Perdana Menteri dahulu.

Justeru, beliau mendakwa pembatalan projek tebatan banjir yang diluluskan ketika pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebagai sesuatu yang tidak matang dan merugikan negara.

Beliau turut mempersoalkan justifikasi Anwar bahawa pembatalan projek itu akan memberi penjimatan RM2 bilion.

“Dan peliknya apabila hari ini (semalam) Perdana Menteri mengarahkan Perbendaharaan dan Kementerian Ekonomi supaya memberi kelonggaran bagi mempercepatkan peruntukan yang diperlukan, selepas pada 6 Disember 2022, beliau mengarahkan beberapa kelulusan terakhir termasuk projek tebatan banjir bernilai RM7 bilion dibatal dan dihentikan serta-merta.

Saya tertanya-tanya bagaimanakah beliau boleh membuat kesimpulan yang kurang matang berkenaan penjimatan sedangkan projek-projek ini belum lagi bermula ketika itu,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebooknya, semalam.

Pada Oktober 2022, akhbar melaporkan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) melaksanakan beberapa projek utama termasuk 40 projek tebatan banjir seluruh negara dalam menggunakan peruntukan off-budget RM15 bilion yang diumumkan Perdana Menteri ketika itu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Bagaimanapun, pada Disember 2022, Anwar mengarahkan beberapa kelulusan projek tebatan banjir bernilai RM7 bilion tidak diteruskan.

Tuan Ibrahim yang juga Timbalan Presiden Pas berkata, beliau sudah mengingatkan kerajaan bahawa negara akan mengalami kerugian yang lebih besar jika projek tebatan banjir yang diluluskan ketika beliau menjadi Menteri Alam Sekitar dan Air ditunda.

“Hari ini terbukti telahan saya benar apabila negara dilaporkan mengalami nilai kerugian akibat banjir pada tahun 2023 berjumlah RM755.4 juta atau 0.04 peratus berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) nominal, termasuklah kerugian industri pertanian sebanyak RM120.6 juta.

“Sudahlah beras tempatan susah untuk didapati di pasaran, pengeluaran hasil padi pula terjejas dengan bencana banjir.

“Malahan, yang terbaru ialah banjir di Sabah dan Sarawak menambahkan lagi penderitaan rakyat selepas Kedah, Kelantan dan Terengganu alami banjir yang buruk pada akhir tahun 2024,”:katanya.

Anwar ketika berucap di hadapan warga Jabatan Perdana Menteri (JPM), semalam mahu projek tebatan banjir diberi kelonggaran oleh Perbendaharaan Malaysia agar pelaksanaannya dapat dipercepatkan.

Katanya, ia melibatkan peruntukan segera dan proses saringan awal (pre queue) yang lebih cepat.

“Orang yang terkesan dengan banjir itu tidak mampu lagi untuk menunggu. Hal-hal ini saya harap diberi perhatian,” jelas Anwar.

Anwar berkata, program pembasmian kemiskinan tegar juga perlu segera diselesaikan dan dipantau

“Dua malam lalu, saya sempat menelefon Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Datuk Nik Nasarudin Mohd Zawawi untuk pemantauan projek- projek. Alhamdulillah projek kemiskinan tegar, kejayaannya baik tetapi jumlah bertambah,” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment