JAKARTA – Emiriyah Arab Bersatu (UAE), memberikan komitmen untuk membina sejuta unit rumah dengan nilai pelaburan antara AS$16 bilion (RM72 bilion) hingga AS$20 bilion (RM90 bilion) bagi menangani masalah perumahan di Indonesia.
Komitmen itu adalah antara kerjasama strategik antarabangsa Indonesia dalam program pembinaan tiga juta rumah setiap tahun yang diterajui oleh Presiden Indonesia, Prabowo Subianto.
Selain UAE, dengan sokongan Turkiye, Singapura, Qatar dan Amerika Syarikat (AS), program itu dilihat berpotensi memberi kesan besar kepada golongan berpendapatan rendah dan dijangka membawa pelbagai cabaran dalam pelaksanaannya.
Qatar pula menandatangani perjanjian untuk membina sejuta unit rumah bagi golongan berpendapatan rendah, dengan tambahan komitmen membina empat hingga enam juta unit rumah pada masa depan.
Ketua Pasukan Petugas Perumahan, Hashim Djojohadikusumo, berkata pelaburan itu tertumpu pada pembinaan rumah vertikal di atas tanah milik negara di kawasan bandar.
“Komitmen ini menunjukkan bahawa program terbabit menarik perhatian pelabur luar negara kerana dalam tempoh tiga bulan, pemerintah telah memperoleh komitmen untuk membina tujuh juta unit rumah,” katanya.
Kerajaan Qatar, telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan pemerintah Indonesia pada awal Januari 2025, dijangka disusuli dengan penandatanganan MoU bersama pelabur dari UAE pada 31 Januari.
Di samping itu, pelabur dari Turkiye dan Singapura turut menyatakan komitmen mereka untuk membina masing-masing 50,000 dan 100,000 unit rumah.
Sokongan antarabangsa itu menunjukkan keyakinan terhadap potensi projek terbabit untuk memenuhi permintaan perumahan yang semakin meningkat di Indonesia.
Menurut Menteri Perumahan dan Kawasan Penempatan, Maruarar Sirait, program itu akan menumpukan kepada golongan berpendapatan rendah, khususnya di bawah lapan juta rupiah (RM2,188) sebulan.
“Kami memberi keutamaan kepada kelas bawah dan menengah yang tinggal di kawasan bandar,” katanya.
Untuk menjayakan program itu, pemerintah akan menyediakan tanah, manakala pelabur bertindak sebagai kontraktor dan pembiaya projek.
Nnn