SEPANG 2 Feb. – Putra menyambut baik cadangan Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor supaya kuasa mengurus tanaman dan industri padi diserah kepada kerajaan negeri susulan ‘kehilangan’ berterusan beras tempatan.
Naib Presiden Putra, Asmawar Samat berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu peka terhadap cadangan itu selepas Kerajaan Madani gagal untuk menyelesaikan isu beras tempatan di pasaran.
Beliau berkata, selepas setahun tanpa kemajuan yang meyakinkan, sudah tiba masanya tanggungjawab urusan padi, beras,telur dan ayam diserahkan kepada kerajaan negeri manakala Anwar boleh meneruskan misi lawatan ke luar negara.
Asmawar mengulas kenyataan Muhammad Sanusi yang menggesa kerajaan memberi kuasa kepada kerajaan negeri menguruskan tanaman dan industri padi bagi memulihkan bekalan beras tempatan..
Sanusi mendakwa masalah ketiadaan bekalan beras tempatan tidak akan selesai selagi kegiatan yang didalangi kartel tidak dibanteras sepenuhnya dan mendedahkan kegiatan menukar bungkusan beras tempatan kepada beras import.
Sebelum ini, Ketua Kluster Makanan Majlis Tindakan Kos Sara Hidup (NACCOL), Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal meminta Anwar menyerahkan portfolio urusan padi dan beras negara di bawah NACCOL buat sementara waktu.
Ahli Parlimen Bukit Gantang itu, berkata beliau yakin isu itu dapat diselesaikan dalam tempoh tiga bulan, selepas didakwa gagal diselesaikan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.
Dalam pada itu, Asmawar berkata, sejak tahun 1970’an, Kerajaan Negeri tidak mempunyai kuasa kerana pelesenan dan penguatkuasaan diberikan kepada Bernas manakala MADA Kedah dan KADA Kelantan bertanggungjawab ke atas perancangan strategik.
“Sekarang, Bernas dilihat sudah tidak mampu untuk menyelesaikan banyak permasalahan dalam konteks keselamatan makanan (food security) melibatkan hal ehwal di luar bidang kuasa pelesenannya.
Ini meliputi perkara seperti pengurusan subsidi dan bekalan benih, bekalan baja, penuaian padi, pembelian dan menentukan harga siling padi, pengilangan padi, simpanan stok padi, harga siling beras, bekalan dan pasaran Beras Tempatan yang hilang dan saingannya beras import,” katanya dalam satu kenyataan .
Beliau yang juga Pengerusi Biro Pertanian dan Keterjaminan Makanan Putra juga mengingatkan kebajikan para petani/pesawah perlu dipelihara agar mereka terus berminat bertani dan tidak menjual tanah mereka kepada pihak berkepentingan yang sentiasa mahu menangguk di air yang keruh.
“Sejak dua tahun yang lalu, permasalan memuncak hingga ramai petani hilang sabar dengan melakukan protes secara terbuka dan aman di merata tempat menuntut agar harga siling jualan padi mereka dinaikkan kepada RM1,800 se tan berbanding RM1,300 se tan yang ditetapkan sejak 10 tahun lalu,” katanya.
Justeru Putra berpandangan agar kuasa ke atas Hal Ehwal Kemajuan, Pengeluaran, Pemasaran dan Kebajikan Petani perlu diletakkan di bawah kuasa Pihak Kerajaan Negeri-Negeri.
Putra mengesyorkan supaya ditubuhkan Perbadanan Kemajuan dan Keselamatan Padi Negeri Kedah (PKKPNK) dengan dipengerusikan Menteri Besar.
Di samping itu, Putra juga mahu dasar ‘Keterjaminan Makanan’ dikaji semula dalam konteks yang lebih luas berikutàn ancaman beras import dan kepupusan beras tempatan termasuk para petani yang sudah masuk ke tahap membimbangkan.
Nnnnn