Dituduh tidak hormati kitab suci agama

COPENHAGEN – Dua individu didakwa di mahkamah Denmark atas tuduhan tidak menghormati al-Quran susulan layanan tidak wajar terhadap kitab suci agama Islam itu.

Ini kali pertama dalam sejarah Denmark, pendakwa raya di Copenhagen membawa kes pelanggaran Seksyen 110e(2) Kanun Jenayah Denmark berhubung layanan tidak wajar terhadap kitab suci agama.

Pejabat Pendakwa Raya memaklumkan, pertuduhan itu dibuat selepas Menteri Kehakiman Denmark meluluskan cadangan untuk meneruskan kes berkenaan.

Menurut pendakwa raya, kejadian didakwa berlaku pada 15 Jun 2024 ketika Pesta Rakyat di Pulau Bornholm.

Suspek didakwa melakukan perlakuan tidak wajar terhadap al-Quran di dalam khemah, sama ada secara terbuka atau dengan niat untuk berkongsi perbuatan itu dengan khalayak yang lebih luas.

“Penilaian kami ialah berkaitan acara ketika Pesta Rakyat, layanan yang tidak wajar terhadap al-Quran telah berlaku, dan ia berlaku di khalayak ramai kerana dihadiri beberapa orang dan juga merebak lebih luas dengan dirakam dan disiarkan secara langsung melalui Facebook,” kata kenyataan itu.

Pendakwa Raya, Lise-Lotte Nilas, mengesahkan denda telah dicadangkan terhadap suspek di mana kes telah dikemukakan kepada Mahkamah Bornholm untuk penjadualan tetapi tarikh masih belum ditetapkan.

Related posts

Leave a Comment