KUALA LUMPUR 18 Jan. – Lembaga Tabung Haji (TH) menafikan tuduhan di media sosial kononnya institusi itu menzalimi bakal haji melalui tawaran haji musim 2025M/1446H.
Dalam kenyataannya, TH memandang serius tuduhan memburukkan reputasi dan menimbulkan keresahan dalam kalangan umat Islam dan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya.
Menurut TH, pihaknya menerima dan mengkategorikan semula lebih 700 golongan M40 seperti suri rumah, pelajar dan warga emas kepada golongan B40 selepas menerima rayuan berserta bukti mereka adalah daripada golongan terbabit.
Untuk makluman, sejak 2022 TH menyemak silang maklumat bakal haji dengan agensi kerajaan bagi menentukan kategori bakal jemaah B40, M40 dan T20.
“Bakal jemaah yang menerima sumbangan program bantuan kerajaan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) adalah termasuk dalam kumpulan B40. Bagi yang mempunyai pendapatan individu melebihi RM15,000 sebulan adalah dalam kumpulan T20.
“Bakal jemaah yang tidak termasuk dalam kategori B40 dan T20 adalah dikategorikan sebagai M40,” kata kenyataan itu.
TH juga menjelaskan, pihaknya masih menerima permohonan rayuan menukar kategori tawaran.
Sebelum ini, TH mengumumkan, kadar bayaran haji untuk seorang bakal jemaah muassasah kumpulan B40 yang kali pertama menunaikan ibadah itu ditetapkan pada RM15,000, manakala RM23,500 untuk kumpulan M40 dan T20 perlu membayar penuh iaitu RM33,300.
Kos haji bagi seorang bakal haji muassasah untuk musim haji 1446H/2025M masih kekal pada RM33,300.
TH meneruskan Bantuan Kewangan Haji (HAFIS) kepada jemaah muassasah dalam kategori B40 dan M40 yang kali pertama menunaikan ibadat itu bagi musim haji 1446H/2025M.
Bagi kumpulan B40, Bantuan Kewangan Haji diperuntukkan adalah RM18,300 atau 55 peratus manakala bagi jemaah haji dalam kalangan M40, sebanyak 29 peratus atau RM9,800.
Bantuan Kewangan Haji pada musim haji kali ini dianggarkan berjumlah RM261 juta dan ini menjadikan jumlah terkumpul meningkat kepada lebih RM2.8 bilion dalam masa 25 tahun.
Nnnn
