Lebih 500,000 kanak-kanak berisiko

ISLAMABAD – Lebih 500,000 kanak-kanak di Afghanistan berisiko mengalami kekurangan nutrisi makanan pada 2025, demikian amaran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Dalam satu kenyataan, PBB menyatakan bahawa antara punca situasi membimbangkan itu adalah keadaan iklim yang ekstrem, yang “membataskan keupayaan orang ramai untuk memberi makan kepada keluarga mereka”.

Menurut laporan terbaru Pejabat PBB bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA), hampir separuh daripada penduduk Afghanistan – kira-kira 22.9 juta orang – akan memerlukan bantuan kemanusiaan tahun ini untuk menangani keperluan kronik dan akut.

Ekonomi Afghanistan yang rapuh, bencana alam yang berterusan, kejutan akibat perubahan iklim, serta ketidakstabilan politik serantau terus menghalang pemulihan daripada konflik selama beberapa dekad, menurut laporan itu.

Sejak Taliban kembali berkuasa pada Ogos 2021, Afghanistan tidak mempunyai akses kepada rizab asingnya di bank Barat, yang memburukkan lagi krisis ekonomi negara itu.

Menurut PBB, pengangguran dan kemiskinan menjejaskan sekitar 48 peratus penduduk.

Negara yang sangat terdedah kepada bencana berkaitan iklim itu dijangka mengalami banjir lebih teruk pada tahun ini, yang seperti tahun-tahun sebelumnya, dijangka memusnahkan rumah, tanah pertanian dan memindahkan komuniti.

Nnn

Related posts

Leave a Comment