PM Lee sebagai Menteri Kanan Singapura

SINGAPURA 16 April – Perdana Menteri Lee Hsien Loong akan kekal dalam Kabinet sebagai Menteri Kanan selepas beliau berundur sebagai ketua pemerintah manakala sebahagian besar menteri akan kekal dalam portfolio yang sama.

Timbalan Perdana Menteri Lawrence Wong yang akan mengambil alih jawatan No. 1 itu berkata, butiran rombakan Kabinet akan diumumkan beberapa hari sebelum upacara angkat sumpah pada 15 Mei depan.

“Sistem kita berfungsi berdasarkan kesinambungan dan perubahan yang progresif. Tidak pernah berlaku apabila berlaku peralihan kepimpinan, semua menteri yang lebih tua mengundur diri pada masa sama.

Sebaliknya, mereka terus menyumbang dalam cara yang berbeza, sambil memberi ruang kepada yang lebih muda untuk meningkat naik. Saya akan mengguna pakai pendekatan sama apabila saya mengambil alih,” kata bakal Perdana Menteri itu.

Wong, 51 yang juga Menteri Kewangan, berkata beliau gembira Lee bersetuju untuk kekal dalam Kabinet sebagai Menteri Kanan sama seperti mantan Perdana Menteri terdahulu Lee Kuan Yew dan Goh Chok Tong selepas berundur.

Beliau juga menjelaskan, sambil mengekalkan pasukan sedia ada sehingga pilihan raya akan datang, kemungkinan beberapa ahli Parlimen dinaikkan pangkat serta mengambil beberapa anggota Parlimen untuk mengukuhkan pasukan

Katanya, perubahan besar kepada Kabinet mungkin berlaku selepas Pilihan Raya Umum (PRU) yang harus diadakan menjelang November 2025.

Wong berkata, antara keutamaannya adalah untuk membentuk pasukan terbaik yang dapat berkhidmat kepada Singapura dan rakyatnya serta melakukan perubahan dan kesinambungan.

Related posts

Leave a Comment