SINGAPURA – Kerajaan Arab Saudi memberi jaminan kuota rasmi 900 jemaah haji kepada Singapura tahun ini, kata Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.
Bagaimanapun Masagos, yang juga Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, turut memohon agar Singapura diberi kuota haji tambahan, melebihi kuota rasmi 900 anggota jemaah yang diberi kerajaan Arab Saudi bagi 2025.
Katanya, beliau menyampaikan hasrat itu semasa pertemuan dengan Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Tawfiq Al-Rabiah, pada majlis menandatangani perjanjian haji bagi musim haji 2025 buat jemaah Singapura di Jeddah.
Permintaan itu, kata Masagos, akan diberikan perhatian oleh Dr Tawfiq.
“Alhamdulillah, tahun lalu (2024) semua jemaah Singapura dapat menjalankan ibadah haji dengan selamat dan pulang dengan selamat. Tahun ini (2025), Kerajaan Arab Saudi telah memberikan Singapura jaminan untuk kuota yang rasmi.
“Saya juga telah meminta supaya kita diberikan tambahan daripada kuota tersebut dan beliau akan memberikan perhatian atas permintaan tersebut,” katanya melalui hantaran di Facebooknya.
Kuota haji rasmi Singapura adalah berdasarkan 0.1 peratus penduduk Islam di Singapura. Formula 0.1 peratus itu diputuskan oleh Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) pada 1987.
Nnn