JAKARTA 30 Dis. – Kerajaan Arab Saudi dilaporkan menyediakan kawasan seluas 50 hektar bagi pembangunan Kampung Haji Indonesia bagi mempermudahkan urusan dan meningkatkan kualiti layanan kepada jemaah haji serta umrah dari Indonesia.
Langkah ini turut mencerminkan hubungan erat antara kedua-dua negara dalam menguruskan keperluan ibadah berjuta-juta umat Islam dari Indonesia.
Wakil Menteri Agama Indonesia, Romo HR Muhammad Syafi’i, dilaporkan berkata, Putera Mahkota Muhammad Bin Salman telah menyerahkan tanah seluas 50 hektar dengan konsesi selama 100 tahun.
Menurut laporan media, Romo menjelaskan bahawa idea itu timbul daripada keprihatinan Presiden Prabowo Subianto terhadap kualiti layanan yang diterima oleh jemaah haji Indonesia.
“Ramai jemaah telah menabung bertahun-tahun untuk melaksanakan ibadah haji, namun layanan yang mereka terima sering kali tidak memuaskan,” katanya.
Beliau menambah bahawa Prabowo bercadang membina Kampung Haji Indonesia yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan termasuk penginapan moden, pusat kesihatan, dan kawasan ibadah eksklusif.
“Presiden mahu jemaah merasa lebih selesa dan dapat menjalankan ibadah mereka dengan tenang,” tambah Romo.
Dalam pada itu, Menteri Agama, Nasaruddin Umar, berkata maklum balas daripada kerajaan Arab Saudi terhadap cadangan ini sangat positif, dan yang yakin bahawa kampung tersebut bukan sahaja akan memanfaatkan jemaah haji, tetapi juga jemaah umrah.
“Ini adalah langkah yang lebih cekap dalam jangka panjang kerana melibatkan jutaan umat Islam dari Indonesia setiap tahun,” katanya.
Menurut Nasaruddin, pembincangan lanjut mengenai pembangunan kampung itu akan diteruskan selepas musim haji 2025.
“Ini adalah keutamaan kerana ia berkaitan dengan keselesaan ribuan jemaah setiap tahun,” katanya.
Kementerian Agama Indonesia turut memberi perhatian kepada kos ibadah haji yang semakin meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan menyatakan usaha sedang dijalankan untuk mengurangkan kos tanpa menjejaskan kualiti layanan.
Pada Jun lalu, Prabowo telah mengadakan pertemuan dengan Muhammad bin Salman yang antara lain turut mengucapkan terima kasih kepada Arab Saudi atas penyelenggaraan ibadah haji dan umrah yang berjalan lancar bagi jamaah Indonesia.
“Pertemuan kami kali ini menitikberatkan pada hubungan bilateral yang terus berkembang, terutama dalam pembangunan ekonomi, industri pertahanan, hingga pengelolaan haji dan umrah,” kata Prabowo melalui Facebooknya.
(Foto fb Prabowo)
Nnn
