KUALA LUMPUR 19 Dis. – Mahkamah Tinggi di sini melepas dan membebaskan Rosmah Mansor daripada 12 tuduhan pengubahan wang haram lebih RM7 juta dan lima kes gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Hakim K Muniandy membenarkan permohonan isteri bekas Perdana Menteri, Najib Razak itu untuk membatalkan semua tuduhan terhadapnya atas alasan tuduhan tanpa asas dan pendakwaan tidak mengemukakan unsur kesalahan dalam tuduhan yang dikenakan.
Rosmah, 73, memfailkan permohonan untuk membatalkan tuduhan berkenaan pada September 2023, dan perbicaraan dimulakan pada 12 Disember tahun lalu, selepas sebahagian kes didengar dengan keterangan daripada dua saksi.
Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Rosmah didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang boleh dihukum menurut Seksyen 4(1) akta sama.
Berkaitan LHDN, Rosmah didakwa gagal mengemukakan penyata pendapatan bagi tahun taksiran 2013 hingga 2017 kepada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri pada atau sebelum 30 April 2014 hingga 2018.
Tertuduh didakwa gagal melakukannya seperti mana yang diperuntukkan oleh Seksyen 77(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 dengan tiada sebab munasabah yang bertentangan dengan Seksyen 112 akta sama.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang di sini, antara 4 Disember 2013 dan 8 Jun 2017 dan di LHDN, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, di sini dari 1 Mei 2014 dan 1 Mei 2018.
Ketika membacakan keputusannya, Hakim Muniandy berkata, mahkamah membenarkan permohonan tertuduh untuk membatalkan pertuduhan terhadapnya.
Perintah berdasarkan permohonan dibenarkan dan kesemua 17 pertuduhan terhadap tertuduh dibatalkan.
Muniandy berkata, mahkamah memutuskan perkara itu berdasarkan hujah pertuduhan pilihan yang dikemukakan oleh kedua-dua pihak dan undang-undang yang terpakai, termasuk Akta Cukai Pendapatan (Akta 613).
“Perlu ditegaskan bahawa sebaik sahaja pihak pendakwa raya memulakan pertuduhan terhadap tertuduh dan perkara itu di hadapan mahkamah, mahkamah ini mempunyai bidang kuasa untuk menangani ia sewajarnya dan dalam kes sekarang dengan permohonan untuk membatalkannya.
“Pertuduhan yang dirangka untuk kesalahan pengubahan wang haram tidak mendedahkan kesalahan sedemikian atas sebab yang dinyatakan.
“Dalam kes ini, pendakwaan dilakukan berdasarkan Akta Cukai Pendapatan Akta 613, namun terdapat ketidakpatuhan terhadap syarat undang-undang yang dikaitkan dengan kesalahan pengubahan wang haram,” katanya.
Selain itu, Rosmah masih menghadapi prosiding rayuan terhadap keputusan Hakim, Mohamed Zaini Mazlan (kini hakim Mahkamah Rayuan) yang menjatuhinya hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta atas tiga tuduhan rasuah membabitkan projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion.
Rosmah dalam permohonannya sebelum ini berhujah, kualiti hidupnya terjejas akibat ketidakadilan prosedur dalam kes itu.
Bagaimanapun, pihak pendakwaan menegaskan semua tuduhan adalah sah di sisi undang-undang dan mengandungi maklumat mencukupi untuk memaklumkan tertuduh mengenai kesalahan yang didakwa, sekali gus membolehkan beliau menyediakan pembbelaan sewajarnya.
Nnnn
