NEW YORK – Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken, yang tempoh perkhidmatannya berbaki sebulan menyatakan harapan untuk mencapai gencatan senjata antara Israel dan Hamas di Gaza.
Beliau yang berharap dapat menzahirkan harapan itu sebelum khidmatnya berakhir bagaimanapu enggan meramalkan kejayaan setelah berulang kali kecewa dengan usaha Amerika Syarikat (AS) menamatkan perang 14 bulan di wilayah Palestin itu.
“Saya tetap berharap. Kita perlu bersikap optimis. Kami akan menggunakan setiap minit, setiap hari, dan setiap minggu yang tinggal untuk cuba menyelesaikan perkara ini,” kata Blinken.
Beliau yang akan meninggalkan jawatan pada 20 Januari tidak mahu membuat ramalan mengenai kebarangkaliannya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan tidak mahu membuat ramalan mengenai kebarangkaliannya, ketika berucap di Majlis Hubungan Luar Negeri.
“Gencatan senjata perlu berlaku. Ia mesti berlaku. Kita perlu membawa pulang rakyat yang ditawan,” katanya, merujuk kepada pembebasan tebusan di bawah perjanjian gencatan senjata ketika berucap di Majlis Hubungan Luar Negeri.
Blinken, yang mengulangi penilaiannya minggu lalu selepas lawatan ke-12 beliau ke Asia Barat sejak perang bermula, menyatakan bahawa Hamas menunjukkan lebih banyak tolak ansur akibat kerugian yang dialami oleh penaja mereka, Iran.
Presiden AS, Joe Biden, berdepan kritikan daripada sayap kiri Parti Demokrat kerana tidak menggunakan pengaruh lebih besar terhadap Israel, seperti menahan lebih banyak bantuan senjata bernilai berbilion dolar yang menjadi kebergantungan Israel.
Blinken sekali lagi menegaskan bahawa menamatkan perang adalah demi kepentingan Israel dan perlunya persetujuan mengenai pentadbiran pasca-perang, sambil menolak pandangan golongan pelampau di Israel yang menyokong kehadiran jangka panjang di Gaza.
“Jika mereka terpaksa menanggung beban itu, mereka akan berdepan pemberontakan selama bertahun-tahun. Itu tidak memanfaatkan Israel.
“Jadi, Gaza perlu diterjemahkan kepada sesuatu yang berbeza, yang memastikan Hamas tidak memegang kuasa, Israel tidak perlu campur tangan, dan sesuatu yang lebih mantap menggantikan keadaan sekarang,” katanya.
