Adakan pilihan raya adil di Syria

DAMSYIK – Utusan Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke Syria menggesa pilihan raya ‘bebas dan adil’ diadakan selepas penggulingan presiden Bashar al-Assad, sekali gus menyuarakan harapan penyelesaian politik bagi kawasan dikuasai puak Kurdi.

Bercakap kepada pemberita di Damsyik, utusan khas PBB, Geir Pedersen, berkata ‘terdapat banyak harapan untuk melihat permulaan Syria yang baharu’.

“Syria baharu yang akan menerima pakai Perlembagaan baharu dan kita akan mengadakan pilihan raya yang bebas serta adil apabila tiba masanya, selepas tempoh peralihan,” katanya.

Pedersen juga berharap untuk melihat penamatan sekatan antarabangsa yang dikenakan terhadap Syria berikutan pemerintahan regim kejam Assad.

Beliau berkata, cabaran utama adalah keadaan di kawasan yang dikuasai puak Kurdi di timur laut Syria, di tengah kebimbangan mengenai peningkatan ketegangan antara Pasukan Demokratik Syria (SDF) yang dipimpin Kurdi dan disokong AS serta kumpulan yang disokong Turkiye.

Assad melarikan diri dari Syria susulan serangan mengejut yang diterajui pejuang Islam Hayat Tahrir al-Sham (HTS), lebih 13 tahun selepas tindakan kerasnya terhadap protes demokrasi yang mencetuskan salah satu peperangan paling dahsyat abad ini.

Beliau meninggalkan negara yang parah akibat penyeksaan, kehilangan mangsa dan hukuman mati selama berdekad-dekad, dan kejatuhan pemerintahannya pada 8 Disember lalu mengejutkan dunia, namun diraikan penduduk di Syria dan luar negara.

Nn

Related posts

Leave a Comment