KUALA LUMPUR 28 Nov. – Bersatu mengumumkan pelantikan tiga jawatan kanan dalam Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti itu bagi sesi 2024-2027 dengan Mohamed Azmin Ali sebagai Setiausaha Agung yang baharu.
Turut dilantik Rina Harun sebagai Bendahari Agung, dan Tun Faisal Ismail Aziz sebagai Ketua Penerangan.
Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin dalam kenyataan menerusi Facebook, berkata, pelantikan yang berkuat kuasa hari ini dibuat menurut Fasal 13.9 Perlembagaan Bersatu .
Beliau mendoakan agar ketiga-tiga pemimpin yang dilantik dapat menjalankan tugas yang termaktub di dalam Perlembagaan Bersatu dengan amanah, cekap dan berintegriti.
“Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada Setiausaha Agung, Datuk Seri Hamzah Zainudin, Bendahari, Datuk Mohamed Salleh Bajuri dan Ketua Penerangan, Datuk Razali Idris, atas segala jasa dan khidmat bakti mereka kepada parti,” katanya.
Pada pemilihan parti yang lalu, Muhyiddin dan Hamzah menang tanpa bertanding sebagai Presiden dan Timbalan Presiden susulan hanya satu pencalonan diterima bagi jawatan ditandingi mereka.
Pada pemilihan Oktober lalu, Ahmad Faizal Azumu, bersama Dr Ronald Kiandee dan Dr Radzi Jidin menang dalam pertandingan enam penjuru merebut jawatan Naib Presiden.
Manakala Ahli Parlimen Masjid Tanah, Mas Ermieyati Samsudin dipilih sebagai Ketua Srikandi, menggantikan Rina yang menarik diri dari bertanding sementara Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham dipilih sebagai Ketua Armada.
Nnn
