UMNO tarik balik penggantungan Tajuddin

KUALA LUMPUR 25 Nov. – – Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO malam ini menarik balik penggantungan keahlian UMNO bekas Ahli Parlimen Pasir Salak, Tajuddin Abdul Rahman  berkuat kuasa hari ini.

Setiausaha Agung UMNO, Dr Asyraf Wajdi Dusuki dalam satu kenyataan berkata, keputusan sebulat suara MKT Itu adalah selaras dengan Fasal 10.6 dan Fasal 5.3 Perlembagaan UMNO.

Tajuddin yang juga bekas Ahli MKT sebelum ini digantung keahlian selama enam tahun bermula September 2022 kerana kesalahan mengkritik parti.

Susulan itu, beliau dilapor mengemukakan rayuan sebanyak empat kali, namun masih belum mendapat sebarang maklum balas daripada parti sehinggalah diputuskan pada mesyuarat malam ini.

Dalam pada itu, Asyraf berkata, MKT turut melantik Pengerusi Veteran UMNO Malaysia, Datuk Othman Desa sebagai Ahli MKT Dilantik.

Sementara itu, Asyraf Wajdi memaklumkan UMNO akan memulakan Sekolah Politik yang akan dibuka kepada semua rakyat Malaysia bermula awal tahun depan.

“Sekolah Politik itu akan memfokuskan kepada ilmu asas kenegaran, perlembagaan, dinamika politik demokrasi, politik khidmat dan bakti kepada rakyat,” katanya.

Dalam pada itu mesyuarat juga bersepakat meminta supaya segala usaha dipertingkatkan untuk memperkukuh dan mempereratkan lagi hubungan dengan parti dalam Kerajaan Perpaduan

“MKT juga meminta supaya semua wakil UMNO dalam Kerajaan Perpaduan sama ada yang memegang amanah dalam Jemaah Menteri mahupun Agensi-Agensi dan Syarikat-Syarikat Kaitan Kerajaan mesti terus meningkatkan prestasi kerja dengan cemerlang demi rakyat dan negara,” kata Asyraf Wajdi.

Related posts

Leave a Comment