KUALA LUMPUR 20 Nov. – Orang ramai tidak dibenarkan mengguna soket elektrik tiga pin, termasuk pengecas mudah alih USB dalam bas susulan laporan awal mendapati pendawaian tidak teratur pada perkakas itu punca seorang remaja maut direnjat elektrik.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, mendedahkan yang remaja maut direnjat elektrik ketika mengecas telefon menggunakan pengecas USB dalam bas dinaikinya.
Justeru, beliau berkata, tindakan segera diambil dengan mengeluarkan surat pemakluman kepada semua pengendali bas pada 6 November lalu untuk menghentikan penggunaan semua soket terbabit dalam bas dengan serta-merta.
“Jadi sementara ini kita larang semua dulu sehingga pemeriksaan terhadap piawaian dalam bas dilakukan.
“Arahan ini berkuat kuasa sehingga polisi dan garis panduan pendawaian tambahan yang baharu dikeluarkan oleh Kementerian Pengangkutan (MOT),” katanya pada sidang media di Dewan Rakyat hari ini.
Bagi syarikat pengendali bas yang mahu menggunakan soket atau USB, Loke berkata, selepas ini mereka perlu membuat pemeriksaan pendawaian dan diiktiraf oleh Suruhanjaya Tenaga (ST).
Untuk proses pelesenan pula, beliau berkata, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) juga mewajibkan syarikat pengendali bas baharu dan sedia ada mengemukakan keputusan laporan atau sijil.
Katanya , mereka hendaklah menjalani pemeriksaan pendawaian tambahan oleh badan pemeriksaan dan pengujian yang diakreditasi oleh Jabatan Standard Malaysia.
“Ia membabitkan sistem pendawaian dan kelengkapan elektrik tambahan seperti kabel, soket alur keluar, peranti arus baki dan lain-lain yang digunakan oleh semua kenderaan perdagangan mempunyai pensijilan standard piawaian yang diiktiraf oleh badan pemeriksaan dan pengujian yang telah diakreditasi oleh Jabatan Standard Malaysia,” katanya.
Sementara itu, garis panduan menyeluruh berhubung pendawaian elektrik dalam bas akan siap dibangunkan dalam tempoh sekurang-kurangnya enam bulan.
Loke berkata, pihaknya perlu mengadakan libat urus dengan pemegang taruh untuk membuat perubahan daripada segi peraturan termasuk perlu melalui proses dalaman kementerian serta kelulusan Jabatan Peguam Negara (AGC).
Sebab ini memang tidak ada syarat untuk bas membuatnya mengikut piawaian daripada segi pendawaian elektrik.
“Dalam aspek mekanikal dan lain-lain memang ada syarat untuk mereka patuhi sebelum mendapatkan kelulusan daripada pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melalui kejuruteraan automotif.
Tetapi dari segi pendawaian elektrik, tidak ada peraturan itu. Daripada insiden (remaja maut direnjat) amat menyedihkan, tetapi ia menyebabkan kesedaran perlunya ada satu ketetapan atau garis panduan dalam bas,” katanya.
Loke berkata, kerajaan sentiasa memandang serius aspek keselamatan penumpang pengangkutan awam supaya setiap pengguna berasa lebih selamat ketika menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam.
Justeru, langkah-langkah pemantauan lebih ketat akan terus dilaksanakan untuk memastikan kejadian seumpamanya tidak akan berulang di masa akan datang.
“Bagi mengelakkan sebarang risiko yang membahayakan keselamatan pengguna dan mencegah kejadian serupa berlaku di masa hadapan, MOT menyusun langkah penambahbaikan untuk memastikan pematuhan kepada piawaian keselamatan yang lebih ketat dilaksanakan.
“Ia termasuk penguatkuasaan yang lebih tegas terhadap aspek pendawaian elektrik dan kelengkapan berkaitan dalam kenderaan,” katanya.
Nnn
