Sama’ Hadis Sahih Al-Bukhari baca lebih 7,000 hadis

PUTRAJAYA  20 Nov. – Lebih 7,000 hadis selesai dibaca pada Majlis Sama’ Hadis Sahih Al-Bukhari Antarabangsa 2024 petang semalam, menjelang majlis khatam yang akan berlangsung pada malam ini.

Majlis bacaan hadis Al-Bukhari yang berlangsung di Dewan Solat Masjid Putra itu  bermula 11 November lalu, selepas perasmian pada hari sebelumnya dan ia selesai dibaca lebih awal berbanding jadual asal berakhir pada sesi pagi ini.

Berikutan itu, program terakhir hari ini hanya akan bermula pukul 3 petang bagi pendaftaran disusuli solat Asar , bacaan maulid dan empat tausiyah.

Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim),  Hassanuddin Mohd Yunus akan memulakan tausiyah diikuti Prof.  Dr Asmadi Mohamed;  Sheikh Afeefudeen al-Jailani dan Prof Madya Dr Umar Muhammad Noor.

Selesai solat Maghrib, berlangsung sesi isnad para masyayikh Majlis Sama’ melibatkan 13 ulama dari Malaysia, Indonesia, Tunisia, Libya, Mesir, dan Uzbekistan.

Perdana Menteri  Anwar Ibrahim akan menyampaikan ucapan perasmian khatam Hadith Sahih al-Bukhari Perijgkat Antarabangsa, diikuti syarahan perdana oleh Mufti Besar India Al-Allamah Sheikh Abu Bakar Ahmad al-Malibari.

Penganjuran Majlis Sama’ Hadis Sahih Al-Bukhari Antarabangsa 2024 adalah selaras dengan aspirasi kerajaan yang bercita-cita memupuk nilai kesatuan dan persaudaraan dalam kalangan masyarakat Islam.

Ia juga untuk memperkukuh kefahaman dan penghayatan umat Islam terhadap hadis Nabi Muhammad SAW di samping menghargai kekayaan legasi khazanah ilmu ditinggalkan ulama terdahulu.

Bertemakan “Menyemai Ilmu, Mengukuh Perpaduan, Menjulang Negara MADANI” majlis itu menghimpunkan 16 ulama serta ilmuan tersohor dari Malaysia dan beberapa negara antaranya Indonesia, Syria, Mesir, India dan Tunisia.

Program selama 11 hari itu dianjurkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia ( Yadim) serta Pertubuhan Kebajikan Al-Taibah dan Majlis Bukhari Malaysia.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment