ICA jangka sesak musim cuti akhir tahun

SINGAPURA 12 Nov. – Lebih lima juta pengembara melintasi pos pemeriksaan Woodlands dan Tuas, yang menghubungkan Singapura dengan Malaysia semasa cuti sekolah, mulai 30 Ogos hingga 8 September lepas.

Menurut Pihak Berkuasa Imigresen Pusat Pemeriksaan (ICA), jumlah pengembara paling ramai adalah pada 6 September, dengan rekod lebih daripada 543,000 orang setiap hari.

Keadaan itu menyebabkan pengembara yang menaiki kereta dan berlepas pada waktu puncak terpaksa menunggu sehingga tiga jam untuk pemeriksaan imigresen.

Justeru ICA dalam satu kenyataan semalam menjangkakan pusat pemeriksaan Tuas dan Woodlands di Singapura akan sesak semasa cuti sekolah akhir tahun ini yang bermula pada pertengahan November.

ICA menasihati pengembara mengambil kira  masa menunggu tambahan mulai 15 November hingga 1 Januari 2025, terutamanya pada hujung minggu.

Pada masa yang sama agensi itu turut menggesa pengembara untuk bekerjasama dengan pegawai ICA, mematuhi peraturan lalu lintas, dan mengekalkan disiplin lorong.

ICA memberi amaran, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap pengembara yang gagal mematuhi arahan pegawai atau melakukan kesalahan di pusat pemeriksaan.

Bagi memastikan perjalanan lebih lancar, pengembara yang menaiki kereta atau motosikal digalakkan menggunakan kod QR sebagai pengganti pasport dan mengelakkan memotong barisan, kerana ia boleh menyebabkan kesesakan yang teruk dan membahayakan keselamatan pemandu lain.

“Pemandu yang didapati memotong barisan akan diminta berpatah balik dan beratur semula,” kata ICA.

Nnn

Related posts

Leave a Comment