KUALA LUMPUR 6 Nov. – Keputusan penstrukturan semula ekuiti Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) tidak ada kaitan sama sekali dengan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) mahupun Kementerian Pengangkutan (MOT).
Penegasan itu dibuat Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, susulan soalan dikemukakan Datuk Dr Radzi Jidin (PN-Putrajaya) yang mengaitkan penjualan MAHB kepada syarikat asing, Global Infrastructure Partners (GIP) diluluskan oleh MAVCOM.
“Jangan terlalu banyak konspirasi. Isu penstrukturan MAHB bukan di bawah Kementerian Pengangkutan, ia di bawah Khazanah (Khazanah Nasional Bhd) dan Kementerian Kewangan. Begitu juga dengan ekuiti MAHB, bukan bawah MOT.
“Malah penstrukturan ekuiti yang dilaksanakan pihak Khazanah, tidak ada kena mengena dengan MAVCOM.
MAVCOM hanya lihat satu elemen iaitu sama ada penstrukturan syarikat itu menjadikannya (terdedah kepada) anti persaingan,” katanya pada sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 bagi kementeriannya di Dewan Rakyat, hari ini.
Loke berkata, walaupun MAVCOM berada di bawah MOT, ia satu entiti tersendiri berstatus badan berkanun.
“MAVCOM ada ‘board’sendiri, saya tak campuri urusan dalam MAVCOM. Mesyuarat mereka dihadiri pengerusi dan ahli suruhanjaya MAVOCM. Mereka buat keputusan secara objektif dan selepas melihat fakta, sebelum meluluskan permohonan daripada MAHB,” katanya.
Untuk rekod, Mei lalu, konsortium diterajui Khazanah dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)mengumumkan tawaran sukarela prasyarat bagi mengambil alih semua saham MAHB yang belum dimiliki oleh mereka pada harga tawaran RM11 sesaham.
Konsortium dikenali sebagai Gateway Development Alliance (GDA) itu terdiri daripada Khazanah menerusi anak syarikat milik penuhnya, UEM Group Bhd; KWSP; anak syarikat milik penuh Abu Dhabi Investment Authority (ADIA) dan dana yang diuruskan oleh Global Infrastructure Partners (GIP), salah satu pelabur infrastruktur terkemuka sedunia dengan pengalaman memiliki serta menguruskan lapangan terbang.
Apabila tawaran selesai sepenuhnya, Khazanah akan meningkatkan pemilikannya dalam MAHB daripada 33.2 peratus kepada 40 peratus, manakala KWSP daripada 7.9 peratus kepada 30 peratus.
Secara kolektif, pelabur Malaysia akan memiliki 70 peratus saham MAHB, sementara ADIA dan GIP akan memiliki baki 30 peratus saham.
Nnnn