GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia, (WHO) melaporkan batuk kering atau TB kembali menjadi penyakit berjangkit yang paling banyak meragut nyawa, pada tahun lepas.
Dalam laporan terbaharunya yang diterbitkan pada 29 Oktober, WHO menyatakan seramai 1.25 juta orang mati berkaitan TB di merata dunia tahun lepas.
Bagaimanapun jumlah itu turun sedikit daripada 1.32 juta orang, setahun sebelumnya.
Seramai 8.2 juta pesakit baharu TB didiagnos tahun lepas, jumlah yang tertinggi sejak WHO mula memantau TB di peringkat global dalam tahun 1995.
Menurut WHO lagi, usaha membanteras TB setakat ini masih jauh daripada mencapai matlamatnya dan usaha itu terus menghadapi masalah besar seperti kurang dana.
Ketua Pengarah WHO Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, hakikat bahawa TB masih membunuh dan menjangkiti begitu ramai orang adalah sesuatu yang keterlaluan, apabila ada alat untuk mencegah, mengesan dan merawatnya.
