KUCHING 9 Feb. – Abdul Taib Mahmud telah meletakkan batu asas yang kukuh untuk menjadikan Sarawak sebagai salah satu wilayah yang paling stabil dari segi politik dan ekonomi di Malaysia hari ini, kata Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Belau berkata, sebagai Bapa Sarawak Moden, sumbangan Abdul Taib terlalu besar dalam memastikan pembangunan holistik Sarawak sepanjang kerjaya politiknya.
Katanya, dalam tempoh perkhidmatan kerajaan yang luar biasa selama 51 tahun, sama ada di peringkat Persekutuan dan kemudiannya kepemimpinan tertinggi Sarawak pada 1981, Abdul Taib sinonim dengan pembangunan luar biasa Sarawak.
Beliau berkata demikian ketika menzahirkan penghargaan kepada Abdul Taib semasa menyampaikan gperutusan Tahun Baharu Cina yang pertamanya selepas dilantik sebagai ketua negeri.
Menurutnya, beliau menghargai pengorbanan Abdul Taib sejak pembentukan Malaysia dengan mula menyertai Kabinet Sarawak pada 1963 hingga melepaskan jawatan Ketua Menteri kepada Adenan Satem pada 2014.
Wan Junaidi turut mendoakan kesejahteraan Abdul Taib dan menikmati tempoh persaraan dengan aman dan memuaskan.
Abdul Taib, 87, menjadi Ketua Menteri Sarawak keempat bermula pada 1981 hingga 2014, menjadikannya sebagai Ketua Menteri paling lama berkhidmat di Malaysia iaitu selama 33 tahun.
Selepas berundur pada 2014, beliau dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri ketujuh pada tahun yang sama sehingga bersara pada 25 Januari lalu.
Abdul Taib kini dirawat di kediamannya di Demak Jaya di sini selepas keluar dari Pusat Perubatan Pakar Normah, Petra Jaya, Sabtu lalu.
Sementara itu, Wan Junaidi mahu rakyat Sarawak sebagai satu keluarga besar supaya sentiasa menjaga kepentingan, kebajikan dan keperluan orang lain serta mengutamakan rasa tanggungjawab di setiap peringkat masyarakat.
“Dengan sokongan tidak berbelah bahagi daripada semua lapisan rakyat di negeri ini, saya benar-benar membayangkan masa depan yang stabil, harmoni, keadilan dan keadilan untuk semua yang sejajar dengan kemajuan keseluruhan negara.
“Bersama-samalah kita berusaha memainkan peranan kolektif dalam mempromosikan keamanan dan keharmonian di kalangan semua kaum di Sarawak,” katanya.
Beliau turut optimis terhadap kemakmuran Sarawak di bawah kepemimpinan Premier Sarawak, Abang Johari Abang Openg dengan sokongan anggota Kabinetnya yang berdedikasi.
“Usaha gigih kerajaan, seperti yang dipandu oleh Strategi Pembangunan Pasca-Covid 19 (PCDS) 2030, telah meletakkan Sarawak pada trajektori pertumbuhan mampan, dipacu oleh inovasi dan kreativiti, ke arah daya tahan ekonomi, kemakmuran bersama dan negeri mesra alam,” katanya.
Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada bekas Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah atas pelantikannya sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak kelapan, jawatan yang diberikan atas cadangan Kerajaan Sarawak.
“Saya juga berterima kasih kepada semua yang mengucapkan tahniah kepada saya atas pelantikan ke jawatan penting ini.
“Saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim atas pertabalan baginda sebagai Yang Di-Pertuan Agong Malaysia ke-17,” katanya.
Nnnn
