KUALA LUMPUR 28 Okt. – “Apakah saya ancaman kepada Parlimen?” Itu persoalan yang ditimbulkan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal apabila Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul mengekalkan keputusan melarang Ahli Parlimen Machang itu berada di dalam Dewan Rakyat.
Bercakap pada sidang akhbar di bangunan Parlimen, hari ini, Wan Ahmad Fayhsal juga bertanya sama ada “muka dan keberadaannya memberi tekanan dan terlalu bahaya untuk berada di Parlimen walaupun tidak dapat cakap satu perkataan pun”.
“Saya tidak tahu peraturan mana (yang dirujuk) dilarang masuk ke tempat pemerhati, Galeri Awam dan tempat petugas. Saya tidak bercakap langsung.
“Adakah saya diberi layanan lebih rendah berbanding pegawai, malah lebih rendah daripada orang awam yang menonton sidang dewan,” katanya.
Justeru, beliau akan menghantar surat kepada Speaker Dewan Rakyat untuk mempertimbangkan semula larangan berada di Galeri Awam Parlimen yang telah dikenakan terhadapnya, minggu lalu.
Wan Ahmad Fayhsal mendakwa, peraturan tersebut tidak masuk akal selain menyifatkannya sebagai berlebihan kerana beliau juga merupakan seorang Ahli Parlimen yang dipilih rakyat.
Johari dalam keputusannya menegaskan, mana-mana ahli yang diarah keluar atau diperintahkan mengikut Peraturan Mesyuarat, maksud keluar adalah dari Chamber Dewan Rakyat.
“Beliau boleh ikuti dari luar tapi tidak boleh masuk dalam Chamber kerana ini akan menimbulkan banyak masalah,” kata Johari.
Terdahulu pembangkang sebelum sesi perbahasan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat mempersoalkan larangan terhadap Wan Ahmad Fayhsal untuk mengikuti persidangan dari Galeri Awam Dewan Rakyat.
Sementara itu menurut Wan Ahmad Fahysal, Ahli Parlimen Gelang Patah pada 2018, Lim Kit Siang pernah digantung daripada sidang Dewan Rakyat selama enam bulan, namun dibenarkan berada dalam dewan tetapi tidak terbabit dalam perbahasan.
“Kenapa ketika ini, sebuah kerajaan yang diketuai oleh Ketua Reformasi Malaysia, bukan sahaja menafikan hak saya untuk membela diri dalam Jawatankuasa Khas kerana kononnya saya bawa surat layang, malah saya sendiri dilarang masuk untuk memerhati,” ujarnya.
Nnn
