GAZA – Pemimpin Hamas, Yahya Sinwar dilaporkan terbunuh dalam satu serangan tentera rejim Zionis di sebuah bangunan di Tel Sultan, kejiranan bandar paling selatan di Semenanjung Gaza.
Media melaporkan, pengganas rejim Zionis Israel dalam dakwaannya berkata, ia telah menemui mayat itu pada Khamis dan dapat mengesahkan identitinya’, selepas melakukan DNA beberapa jam kemudian.
Dalam pada itu, media Israel juga menerbitkan video grafik dan gambar seorang lelaki yang meninggal dunia terbaring dengan mengalami dua kecederaan di kepala dan satu kecederaan kaki.
Media Ibrani juga mengumumkan bahawa Sinwar terkorban ‘secara kebetulan’ dan bukan melalui pembunuhan yang disasarkan.
Pegawai Israel sebelum ini menyatakan bahawa Sinwar terletak di dalam terowong bawah tanah, menahan tebusan Israel, dan memakai bahan letupan untuk menghalang tindakan ketenteraan Israel.
Walaupun Hamas masih belum mengulas mengenai keberadaan Sinwar, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dalam mesej video mengumumkan bahawa rejim penggganas Zionis telah berjaya membunuh pemimpin penting Hamas itu.
Sinwar, yang menjadi ketua politik Hamas selepas pembunuhan Ismail Haniyeh oleh Israel pada 31 Julai lalu, dipercayai menjadi individu penting di sebalik Operasi Taufan Al-Aqsa pada tahun lalu.
Terdahulu tentera Israel berkata identiti individu itu tidak dapat disahkan dan tiada tanda-tanda tebusan Israel berada di bangunan di mana tiga pejuang itu didakwa terbunuh.
Al-Majd, laman web berkaitan Hamas yang biasanya menerbitkan mengenai isu keselamatan, menggesa rakyat Palestin supaya menunggu maklumat mengenai Sinwar daripada kumpulan itu sendiri dan bukannya media Israel, yang dikatakan bertujuan untuk mematahkan semangat mereka.
Kematian Sinwar akan menjadi rangsangan besar kepada tentera Israel dan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu selepas rentetan pembunuhan berprofil tinggi terhadap pemimpin terkemuka musuhnya dalam beberapa bulan kebelakangan ini.
Radio Tentera Israel berkata, insiden itu berlaku semasa operasi darat di bandar Rafah, selatan Semenanjung Gaza di mana tentera Israel membunuh tiga pejuang dan mengambil mayat mereka.
Ia berkata, bukti visual menunjukkan kemungkinan salah seorang lelaki itu adalah Sinwar dan ujian DNA sedang dijalankan. Israel mempunyai sampel DNA Sinwar dari tempohnya di penjara Israel.
Sinwar, ketua arkitek serangan 7 Oktober ke atas Israel yang mencetuskan perang Gaza, berada di bahagian atas senarai dikehendaki tentera rejim Zionis.
Tetapi, dia setakat ini dilaporkan mengelak daripada dikesan, berkemungkinan bersembunyi di dalam terowong yang dibina Hamas di bawah Gaza sejak dua dekad lalu.
