Kamala Harris dahului tinjauan

WASHINGTON – Kamala Harris mendahului saingan pilihan raya Presiden Amerika Syarikat (AS) dengan 45 peratus, manakala pesaingnya, Donald Trump hanya 41 peratus dalam tinjauan Reuters/Ipsos yang diterbitkan semalam.

Pencapaian Naib Presiden AS dari Demokrat itu mencetuskan semangat baharu dalam kalangan pengundi yang memberikan impak kepada Trump, menjelang pilihan raya pada 5 November ini.

Perbezaan empat peratus dalam kalangan pengundi berdaftar adalah lebih besar berbanding kelebihan satu mata dimiliki Kamala terhadap bekas presiden dalam tinjauan Reuters/Ipsos akhir Julai lalu.

Tinjauan terkini yang dijalankan selama lapan hari hingga Rabu lalu, mempunyai margin ralat dua peratus, menunjukkan Kamala meraih sokongan tambahan daripada golongan wanita dan Hispanik.

Kamala juga mendahului dengan 49 peratus, manakala Trump dari Republikan hanya meraih 36 peratus sokongan pengundi wanita dan Hispanik.

Menerusi empat tinjauan Reuters/Ipsos Julai lalu, Kamala memiliki kelebihan, masing-masing sembilan dan enam mata bagi sokongan wanita serta Hispanik.

Trump mendahului sokongan dalam kalangan orang kulit putih dan lelaki dengan margin hampir sama seperti Julai lalu, manakala sokongan golongan tanpa ijazah universiti menguncup kepada tujuh mata dalam tinjauan terbaru, turun daripada 14 mata pada bulan lalu.

Penemuan itu memberi gambaran mengenai saingan merebut jawatan Presiden AS sepanjang musim panas.

Related posts

Leave a Comment