SINGAPURA – Perdana Menteri, Lawrence Wong berkata, Singapura perlu bersedia untuk mengubah dasar pemerintah dan sikap dalam kalangan rakyat dalam usaha mengorak arah baru masa hadapan.
Wong berkata kepemimpinannya bersedia mengorak langkah baharu ini tetapi
akan bersikap berhati-hati dan mempelawa rakyat bekerjasama dengan pemerintah untuk berbuat demikian.
Berucap pada Rapat Hari Kebangsaan, di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Central di Ang Mo Kio, beliau berkata, perubahan berkekalan yang dihasratkan itu memerlukan anjakan minda untuk semua.
Ucapan yang disampaikan dalam bahasa Melayu, Cina dan Inggeris itu adalah ucapan sulung beliau sempena Hari Kebangsaan selepas dilantik sebagai Perdana Menteri Singapura.
Dalam pada itu Wong mengingatkan rakyat mengenai peri pentingnya perjanjian sosial atau kompak sosial yang diperbaharui di mana setiap warga boleh terus menaruh impian dan tahu ada peluang untuk berjaya jika mereka berusaha gigih.
“Itulah inti pati usaha Forward Singapore (Melakar Hala Tuju Singapura). Ia bertujuan memelihara kekuatan dan perpaduan masyarakat kita; untuk berkongsi hasil kemajuan dengan semua dan bukan segelintir sahaja; dan untuk mempertingkat semua rakyat dan bukan sedikit sahaja,” katanya.
Pesanan untuk bersatu dan bekerjasama sebagai sebuah negara untuk menghadapi cabaran di dalam dan luar negara antara mesej berulang yang jelas dalam setiap ucapan yang disampaikannya dalam bahasa Melayu, Cina dan Inggeris.
Dalam ucapannya, Wong turut menekankan komitmen pemerintah untuk terus menyokong keupayaan dwibahasa.
Pengajaran tiga bahasa ibunda – Melayu, Tamil dan Cina – di peringkat Lanjutan di sekolah menengah akan diperluas supaya pelajar yang mempunyai kecenderungan dalam bahasa ibunda boleh mempelajarinya di peringkat itu, walaupun tidak memenuhi markah keseluruhan yang mencukupi dalam Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE).
Nnnn
