GUA MUSANG 16 Ogos – Tengku Razaleigh Hamzah menggesa pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri untuk keluar dan menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) esok.
“Keluarlah mengundi tidak kira calon mana yang ingin dipilih, undi ini yang akan menentukan perubahan yang mereka mahukan,” katanya ketika ditemui selepas Program Perasu Berselawat di Perkarangan Pejabat Felda Perasu di sini malam tadi.
Turut hadir Pengerusi Felda Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas Mohd Syahbuddin Hashim.
Ku Li yang juga Pengarah PRK DUN Nenggiri Barisan Nasional (BN) berkata, beliau sangat berpuas hati dengan kerjasama antara jentera yang ditunjukkan sepanjang tempoh berkempen.
“Ini menandakan bahawa mereka (jentera) sudah melakukan pekerjaan dengan baik malah ini memberikan harapan yang positif kepada parti.
“Berdasarkan taklimat yang diadakan juga kita tidak berdepan dengan apa-apa permasalahan yang besar dan sebarang isu yang timbul dapat diselesaikan dengan baik,” katanya.
Ketua UMNO bahagian Gua Musang itu berkata, penyelesaian isu setempat di DUN dilihat mampu memberi kelebihan kepada BN pada PRK esok.
“Kita menawarkan untuk berkhidmat bagi kawasan DUN Nenggiri, semestinya banyak perkara yang timbul menyentuh isu rakyat tempatan jadi kita menumpukan sepenuh perhatian terhadap soal ini
Sekarang ini kita berhadapan masalah setempat, jadi fokus kita mestilah mengenai perkara yang menghimpit kehidupan rakyat tempatan terutamanya di kawasan DUN Nenggiri,” katanya.
Sebanyak 20,259 pengundi berdaftar layak mengundi bagi memilih sama ada calon BN Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani atau calon Pas Mohd Rizwadi Ismail.
PRK DUN Nenggiri diadakan berikutan kekosongan kerusi diumum Speaker DUN Kelantan Mohd Amar Nik Abdullah pada 19 Jun lepas setelah bekas penyandangnya Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh Bersatu pada 13 Jun.
Nnn
