DARURAT tidak akan menghentikan penularan pandemik Covid-19, sebaliknya akan memberikan kuasa yang lebih kepada Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin, kata bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad.
Dalam catatan terbaharu di blog beliau www.chedet.cc, Dr Mahathir berkata, apa yang diakukan perdana menteri ketika ini tidak membantu mengurangkan masalah politik, ekonomi, dan sosial yang melanda negara.
Pengerusi Interim Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu berkata, Muhyiddin mempunyai Kabinet yang besar, yang langsung tidak menyumbang apa-apa kepada kesejahteraan rakyat dan negara.
“Apa jua tindakan yang dilakukan ketika ini bersifat politik. Kerajaan ini bukan Kerajaan dipilih rakyat. Ia mengambil alih kuasa dengan cara yang tidak demokratik. Dan keutamaannya ketika ini hanyalah kekal berkuasa,” kata Ahli Parlimen Langkawi itu.
Dr Mahathir mendakwa, Covid-19 hanyalah alasan yang akan digunakan untuk melengah-lengahkan proses perjalanan Parlimen, dan mengelak sebarang perbahasan.
Ujarnya lagi, Covid-19 akan menjadi justifikasi pengisytiharan darurat, sedangkan kuasa sedia ada dalam Kerajaan sudah mencukupi untuk menangani wabak itu.
“Kita tidak lihat bantahan (mengenai langkah sedia ada) oleh rakyat di Amerika Syarikat dan Eropah. Rakyat Malaysia secara keseluruhannya patuh terhadap langkah seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya lagi.
Dr Mahathir mendakwa, Perdana Menteri cuba merealisasikan pengisytiharan darurat kerana berhadapan dengan kemungkinan dijatuhkan.
Katanya, kelebihan akan memihak kepada Muhyiddin apabila Parlimen menjadi lumpuh, dan akan berkata ia adalah atas kehendak Istana.
“Ketika ini sudah ada khabar angin bahawa darurat akan menyebabkan pasaran saham jatuh menjunam. Jika ia diisytiharkan, pasaran saham akan lumpuh sepenuhnya. Para pelabur tidak akan yakin kemampuan Perdana Menteri menguruskan ekonomi negara.
“Beliau juga memburukkan lagi keadaan pandemik dengan cuba merampas kuasa di Sabah. Kenaikan mendadak ini adalah disebabkan Pilihan Raya Negeri Sabah. Dan kini Kerajaan Sabah sudah bertukar tangan. Apa kebaikannya kepada rakyat Sabah?” soal Dr Mahathir lagi.
Ulas beliau lagi, ada negara lain yang masalah penularan Covid-19 jauh lebih buruk berbanding Malaysia, namun darurat diisytiharkan pada kawasan-kawasan tertentu sahaja.
“Langkah itu adalah spesifik untuk kawasan tertentu sahaja. Tetapi tiada undang-undang dan Parlimen di negara itu yang akan tergantung, seperti mana jika Malaysia laksanakan Darurat.
“Tiada rusuhan atau keganasan di Malaysia, tiada pelanggaran kepada undang-undang atau perintah yang boleh memberi justifikasi kepada Darurat. Tetapi ada sesuatu yang boleh dilakukan terhadap Kerajaan yang mengambil kuasa melalui cara tidak demokratik,” katanya lagi.