GAZA – Komander Yahya Sinwar yang tinggal di Gaza diumumkan sebagai Ketua Biro Politik Hamas yang baharu bagi menggantikan Ismail Haniyeh, yang dibunuh di Tehran pada 31 Julai lalu.
“Hamas mengumumkan pemilihan Komander Yahya Sinwar sebagai ketua biro politik pergerakan itu, menggantikan Komander Ismail Haniyeh yang syahid, semoga Allah merahmatinya,” kata pergerakan itu dalam satu kenyataan ringkas.
Pelantikan itu diumumkan ketika Israel bersiap sedia untuk berdepan kemungkinan serangan dari Iran berikutan pembunuhan Haniyeh di Tehran.
Sinwar yang dianggap arkitek serangan 7 Oktober ke atas Israel dan dalam beberapa dekad bersembunyi di Gaza, menentang percubaan rejim untuk membunuhnya sejak permulaan perang.
Pelantikan itu bermakna Israel perlu berhadapan dengan Sinwar mengenai penyelesaian kepada perang Gaza yang merupakan satu cabaran langsung kepada Israel.
Sinwar yang menghabiskan separuh hayat dewasanya di penjara Israel adalah pemimpin Hamas paling berkuasa yang masih hidup selepas pembunuhan Haniyeh, yang telah menyebabkan wilayah itu berada di ambang konflik serantau yang lebih luas selepas Iran berikrar membalas dendam.
Dilahirkan di kem pelarian di bandar selatan Gaza di Khan Younis, Sinwar, 61, dipilih sebagai ketua Hamas di Gaza pada 2017.
Ketua jurucakap tentera Israel, Daniel Hagari, menyalahkan Sinwar atas serangan 7 Oktober dan berkata Israel akan terus memburunya.
“Hanya ada satu tempat untuk Yahya Sinwar dan ia adalah di sebelah Mohammed Deif dan ‘pengganas’ 7 Oktober yang lain,” katanya kepada televisyen Al-Arabiya.
Sebagai tanda pergerakan itu bersatu, Khaled Meshaal, bekas pemimpin yang dilihat sebagai bakal pengganti Haniyeh dikatakan oleh sumber kanan dalam gerakan itu menyokong Sinwar.
Bagi Israel, pelantikan itu mengesahkan Hamas sebagai musuh yang berdedikasi untuk memusnahkan rejim itu dan berkemungkinan mengukuhkan desakan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu bahawa Israel mesti meneruskan kempennya di Gaza hingga akhir.
