KUALA LUMPUR 16 Julai – Purata suhu permukaan Semenanjung Malaysia menunjukkan peningkatan 0.24 darjah Celsius per dekad, dengan pelbagai faktor sama ada semula jadi atau kesan aktiviti manusia.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, purata suhu bulanan di Semenanjung Malaysia pada Mei 2024 adalah 28.8 darjah Celsius, berbanding purata bulanan pada Mei 1974 adalah 26.6 darjah Celsius.
Katanya, faktor semula jadi adalah seperti perubahan iklim global dan perubahan pola cuaca.
“Peningkatan pelepasan gas rumah kaca di atmosfera secara global menyebabkan perubahan iklim yang memberi kesan terhadap peningkatan suhu global dan impaknya dapat juga dirasakan di Semenanjung Malaysia,” katanya melalui jawapan bertulis di Parlimen.
Beliau menjawab pertanyaan Ngeh Koo Ham (PH-Beruas) mengenai purata suhu di Semenanjung Malaysia sekarang berbanding 50 tahun lalu, selain sebab mengakibatkan perubahan itu.
Mengulas lanjut, Nik Nazmi berkata, perubahan pola cuaca seperti perubahan hujan dan musim pula boleh mempengaruhi suhu tempatan.
Faktor aktiviti manusia pula seperti penebangan hutan, pertanian dan pembangunan infrastruktur menyebabkan hilangnya kesan penyejukan semula jadi, mengubah aliran air semula jadi dan iklim tempatan yang turut menyumbang kepada peningkatan suhu.
Nnn
