Awang Hashim digantung tiga hari

KUALA LUMPUR 15 Julai – Ahli Parlimen Pendang yang mewakili PN,  Awang Hashim diarah meninggalkan Dewan Rakyat serta-merta dan digantung tiga hari daripada menghadiri persidangan.

Keputusan itu dibuat Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Ramli Md Nor, selepas Awang enggan menarik balik kenyataan anti-Islam yang ditujukan kepada RSN Rayer (PH-Jelutong)

Terdahulu perkataan anti-Islam itu mencetus situasi kecoh selepas Rayer bersama beberapa ahli Parlimen DAP bangkit mendesak Awang menarik semula kenyataan dengan menyifatkan tuduhan dibuat itu sebagai amat serius.

Ramli bagaimanapun meminta semua wakil rakyat berhenti menuduh antara satu sama lain sambil mengingatkan ia menjadi tontonan di luar, sebelum mengarahkan Awang menarik semula tuduhan terbabit.

Bagaimanapun Awang tegas dengan pendirian untuk tidak menarik balik kenyataan yang dibuat beliau.

“Saya minta maaf… saya tak tarik balik…memang Jelutong anti-Islam. Jadi saya tak akan tarik balik,” katanya sebelum Ramli sekali lagi memberi peluang untuk beliau mengubah pendiriaannya.

“YB Pendang tarik balik, satu… YB Pendang dua, tarik balik… YB Pendang tiga, tarik balik. Nak tarik balik atau tidak? Dengan demikian, bentara (beri arahan)… (Awang Solahuddin) tiga hari keluar (Dewan Rakyat),” kata Ramli.

Kenyataan anti-Islam ditujukan Awang selepas Rayer mencelah dan membangkitkan Peraturan Dewan 36 (4) atas kesalahan dilakukan ahli Dewan Rakyat yang menggunakan bahasa kurang sopan serta sangkaan jahat.

Ia susulan tindakan ahli Parlimen pembangkang yang mengeluarkan kenyataan menghina Speaker Dewan Rakyat, Johari Abdul minggu lalu dengan menggunakan istilah ‘posmen’, selain jolokan ‘enam jahanam’ yang merujuk kepada enam bekas wakil rakyat Bersatu yang menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim minggu lalu.

“Pendang merujuk enam Ahli Parlimen yang mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri ( Anwar Ibrahim) dengan menggunakan perkataan enam jahanam.

“Ketika itu, saya tegur kerana beliau wakil Pas dan beragama Islam, maka tidak teratur dan tidak baik untuk beliau merujuk enam orang itu sebagai enam jahanam,” kata Rayer.

Rayer memaklumkan, Ketua Pembangkang,  Hamzah Zainudin, juga mengeluarkan kenyataan menghina Dewan dengan meminta Timbalan Speaker supaya bertindak secara tidak berkepentingan.

Katanya, beliau turut mempersoalkan tindakan mereka yang menghina majlis apabila membuat kenyataan terbabit dan terus keluar daripada Dewan.

“Hari ini mereka muncul, mereka pakai satu lilitan putih, entah apa perlunya tetapi bolehkah mereka menghina majlis, keluar kenyataan dan terus keluar dewan,” katanya.

Ramli kemudian meminta Rayer mengusulkan perkara itu kepada Dewan sebelum ia diputuskan oleh Speaker Dewan Rakyat.

“Rayer membangkitkan peraturan 36 (4), selain (6) dan (12)… daripada apa pertimbangan saya, semua ini berlaku minggu lepas, jadi setiap Yang Berhormat berhak membaca isu dalam aspek peraturan.

“Dengan demikian saya usulkan Jelutong, tolong spesifik dan usulkan pada Dewan biar majlis dipengerusikan Speaker membuat keputusan,” katanya.

Awang kemudiannya mencelah membangkitkan Peraturan Dewan 36(6) berikutan namanya disebut, sebelum menuduh Rayer sebagai anti-Islam sebelum diminta Ahli Parlimen DAP itu supaya menarik semula tuduhan terbabit.

Ahli Parlimen Pendang itu mempertahankan tindakannya dengan mengaitkan kenyataan Rayer yang mempertikai tindakan kerajaan negeri Kedah tidak meluluskan lesen premis judi di Kedah sebagai anti-Islam.

“Sebab dia sebut nama saya berkenaan enam jahanam, memanglah mereka itu jahanam… bila jahanam dia (Rayer) kaitkan dengan Islam, hari itu pun dia bangkit apa orang Islam macam ini.

“Dia ini anti-Islam dia nak ‘opposite’ (bertentangan) balik supaya orang berfikir… dia anti-Islam sebab itu membela orang main judi di Kedah,” katanya.

Nnn

Related posts

Leave a Comment