Syed Saddiq minta ‘petua’ dapatkan peruntukan

KUALA LUMPUR 9 Julai –  Agihan peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang tidak seharusnya menjadi isu rumit memandangkan syarat ditetapkan kepada mana-mana ahli Parlimen berkenaan yang mahu memperoleh peruntukan adalah syarat asas dan proses biasa dalam mana-mana rundingan dan amalan demokrasi.

Justeru Perdana Menteri  Anwar Ibrahim mahu rundingan antara wakil kerajaan dan pembangkang disegerakan bagi membolehkan satu keputusan dimuktamadkan antara kedua-dua pihak, disamping mengelak sebarang rundingan secara berasingan.

Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (MUDA-Muar) yang meminta petua daripada Perdana Menteri bagi mendapat peruntukan itu kerana beliau mendakwa sudah lima kali berunding untuk mendapatkan peruntukan di kawasannya.

Perdana Menteri berkata, beliau tidak faham mengapa proses itu menjadi rumit.

“Parameter tidak susah. Tapi sebab ada sikap kurang positif, tidak ada rasa rendah diri, kompleks untuk menemui Perdana Menteri di pejabat Perdana Menteri dan bincang.

“Saya tidak faham mengapa proses ini jadi rumit. Tetap tarikh, syarat.. itu proses biasa dalam mana-mana proses demokrasi. Sekali lagi dan berulang kali saya sebut kesediaan kita, tapi biar ikut proses dalam amalan Parlimen,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Awang Hashim (PN-Pendang) pula, Anwar berkata, sudah memberi mandat penuh kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof bagi mewakili kerajaan dalam rundingan berkenaan.

“Walaupun saya terus diserang, kata kita zalim, semua proses peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang di semua negara demokrasi mesti mengikut prosesnya. Rundingan dan saya beri mandat penuh kepada Timbalan Perdana Menteri untuk mengadakan perbincangan.

“Tidak ada syarat mesti sokong Perdana Menteri, tidak ada syarat itu. Saya tidak pernah kenakan syarat itu. Seperti kami lakukan ketika Bera (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) jadi Perdana Menteri, juga diwakili oleh kedua-dua pihak (wakil kerajaan dan pembangkang).

“Ada rundingan lima, enam kali kemudian bila tersangkut satu, dua isu, maka saya selaku ketua pembangkang dan Perdana Menteri (Ismail Sabri) berbincang untuk membolehkan ia diputuskan dan dimuktamadkan,” katanya.

Beliau berkata, ahli Parlimen pembangkang juga tak seharusnya berulang kali membangkitkan hal peruntukan pembangkang di Dewan Rakyat, memandangkan kaedah terbaik untuk memuktamadkan isu itu adalah menerusi rundingan.

“Ini sewajarnya tidak menjadi isu yang memanaskan dewan ini. Tidak payah berlari, berjoget, runding (dan) bincang saja.. selesai,” katanya.

Pada Mei lalu, Fadillah berkata draf memorandum persefahaman (MoU) berkaitan penyaluran peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang sedang dimuktamadkan, antara lain akan memberi tumpuan kepada usaha membangunkan dan memulihkan ekonomi negara demi kesejahteraan rakyat.

Sebaik saja draf terbabit siap, beliau berkata ia akan diserahkan kepada majlis tertinggi semua parti politik kerajaan dan pembangkang untuk diluluskan.

Nnn

Related posts

Leave a Comment