BN mengharapkan kemenangan PH

NIBONG TEBAL 4 Julai – : Kemenangan calon Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap Sabtu ini akan memberi imej yang baik terhadap kerjasama antara PH dan Barisan Nasional (BN).

Justeru Pengerusi Barisan Nasional (BN) Dr Ahmad Zahid Hamid, berkata kemenangan itu amat penting kepada Kerajaan Perpaduan.

Timbalan Perdana Menteri berkata pihaknya komited untuk mengekalkan kerjasama yang baik kerana PH sebelum ini telah membantu mereka dalam beberapa PRK dan Pilihan Raya Negeri (PRN).

“Kemenangan di Sungai Bakap ini sungguh penting untuk Kerajaan Perpaduan di Pulau Pinang dan juga imej untuk Kerajaan Perpaduan (di peringkat nasional).

“(Jadi) saya memohon kepada pengundi-pengundi supaya berikanlah sokongan kepada calon kami dan insya-Allah jika beliau terpilih, tentunya rakyat Sungai Bakap akan lebih berkeuntungan kerana beliau akan bersama-sama kerajaan negeri dan kerajaan negeri juga di bawah Kerajaan Perpaduan,” katanya pada Malam Kasih Bersama Pemimpin di Dewan Khairat Sungai Kechil, malam tadi.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata sekiranya kemenangan berpihak kepada PH, beliau berjanji akan membantu calon Kerajaan Perpaduan, Dr Joohari Ariffin untuk membawa pelbagai keperluan termasuk kemudahan asas kepada penduduk di Sungai Bakap.

“Sangat rugi kalau pengundi memilih calon lain kerana calon itu tidak sama dengan kerajaan negeri dan Persekutuan, sebab itulah kesungguhan kami (BN) bekerja jelas.

“Kami yakin bila berlaku PRK di DUN Nenggiri nanti, mereka (PH) juga boleh membantu kami sebagai tanda jalinan kasih kami untuk menggerakkan jentera daripada parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan bagi memenangkan calon kami (BN) pula,” katanya.

Sementara itu, beliau berharap Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) dapat diwujudkan segera di kawasan Seberang Perai Selatan selain terdapat keperluan untuk meneruskan pembinaan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil yang terbengkalai di Sungai Bakap.

“Saya sudah berbisik perkara ini kepada Menteri Pendidikan (Fadhlina Sidek) dan insya-Allah, permintaan masyarakat India akan dapat ditunaikan jika Cikgu Joo (Joohari) menang,” katanya

Nnnn

Related posts

Leave a Comment